Khamis, 29 April 2021

Sri Pahang akan dirombak

Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my



MOHAMMED Suffian akui cadangan untuk menukar pemain perlu dilakukan memandangkan kedudukan Sri Pahang dalam saingan Liga Super. FOTO OWEE AH CHUN

Kuantan: Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan akan berlaku perubahan dalam pasukan itu pada jendela perpindahan pemain.

Bagaimanapun, beliau berkata, segala-galanya terpulang kepada pengurusan tertinggi kelab itu dalam menentukan kedudukan pemain yang beraksi musim ini.

"Apa yang boleh saya katakan ialah perubahan dalam pasukan memang pasti kerana cadangan untuk menukar pemain perlu dilakukan memandangkan kedudukan Sri Pahang dalam saingan Liga Super.

"Namun, keputusan muktamad akan diketahui dalam tempoh terdekat ini sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Mei ini," katanya.

Mohammed Suffian berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan berlaku perubahan pemain sama ada import dan tempatan dalam memperkasakan kembali pasukan itu.

Ini kerana selepas 10 perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh itu berada di kedudukan kedua tercorot liga dengan sekadar mengutip lima mata.

Hanya satu kemenangan dan dua seri diraih skuad Tok Gajah itu yang menyebabkan peminat setia meluahkan kekecewaan.

Musim ini, Sri Pahang mempertaruhkan lima import iaitu Yevhen Bokhashvili, Herold Goulon, Mamadou Wague, Lee Tuck dan Pedro Henrique.

Namun, prestasi lima pemain import itu gagal membantu pasukan untuk melakar keputusan membanggakan.

SUMBER- MY METRO Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 2:59pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan