Ahad, 3 November 2019

Zuraimi kesal gagal menyerlah


ARKIB : 20/07/1998
TIADA apa yang dapat dikatakan oleh para pemain Pahang yang tewas 1-2 kepada Skuad Olimpik 2000 di Stadium Darulmakmur, kelmarin dan yang paling menyesali keadaan itu ialah Zuraimi Hassan.
BORHAN ABU SAMAH melaporkan, Zuraimi yang hanya memanaskan kerusi simpanan sepanjang musim ini diturunkan bagi menggantikan Muadzar Mohamad, penjaga gol utama yang cedera.
Sentuhan Zuraimi yang cukup cemerlang pada musim lalu jelas bagaikan tidak menjadi, apatah lagi apabila diasak tanpa henti oleh barisan serangan Olimpik.
Ketika ditemui di sini, semalam, Zuraimi berterus-terang meminta maaf di atas persembahan yang kurang bermaya yang dipamerkan olehnya.
Dia berharap para penonton dapat memaafkannya kerana gagal mengekang serangan lawan akibat telah terlalu lama tidak bermain.
''Saya mengaku memang salah saya gol kedua yang juga gol kemenangan lawan adalah berpunca daripada tindakan agak lewat keluar untuk menangkap yang dilorongkan oleh penyerang Olimpik.
''Kesilapan itu menyebabkan saya tidak dapat tidur semalaman kerana memikirkannya, saya turun dengan azam membuktikan kemampuan saya pada perlawanan pertama ini,'' ujarnya.
Menurutnya, pada separuh masa pertama dia telah membaca gerakan barisan hadapan lawan yang gemar melorongkan bola untuk melakukan serangan pantas dan saya berjaya mematahkannya.
''Tetapi separuh masa kedua serangan bertubi-tubi seumpama itu oleh pasukan lawan menyaksikan barisan pertahanan pasukan termasuk saya agak kelam kabut,'' jelasnya.
Zuraimi berazam akan memperbaiki kelemahannya melalui latihan yang lebih intensif sekali gus berjanji akan memberi persembahan yang terbaik pada perlawanan akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan