Ahad, 3 November 2019

Sabah ganyang Pahang


ARKIB : 07/10/1998
SABAH menang bergaya apabila menewaskan Pahang 4-1 pada perlawanan kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam, lapor HARON SHAFEI.
Gol pertama Sabah diperoleh pada minit ke-23 separuh masa pertama hasil sepakan pemain importnya, Veselin Kovasevic yang menerima hantaran cantik Yap Wai Loon di luar kawasan petak penalti.
Gol kedua Sabah diperoleh melalui pemain import Sabah, Saphou Lassy pada minit ke-30 separuh masa pertama setelah menerima hantaran lintang yang dibuat oleh Mokhtar Dayoh di luar petak penalti.
Sabah menghasilkan gol ketiga menerusi Saphou Lassy hasil hantaran Suharmin di luar kawasan petak penalti pada minit ke-67.
Dalam kerancakan pasukan Sabah mengatur serangan bertubi-tubi ke kubu pasukan Pahang, pemain import Pahang, Melnikov Viatcheslav berjaya mencuri ruang pada minit ke-81 apabila menghukum kelalaian pertahanan Sabah dengan menyepak masuk bola menewaskan penjaga gol, Khairul Azman Mohamad.
Sorakan hampir 6,000 penonton bergema lagi apabila Saphou sekali lagi bertindak cemerlang menyumbat gol keempat Sabah pada minit ke-83.
Saphou yang dijatuhkan oleh pemain import Pahang, Kofi Ampiah dalam petak penalti telah mendapat sepakan percuma. Bagaimanapun sepakannya dapat ditampan penjaga gol Muadzar Mohamad.
Saphou yang tidak membuang masuk terus menyepak bola masuk ke dalam pintu gol Pahang. Kofi yang bertindak kasar ke atas Saphou telah menerima kad kuning dari pengadil.
Pemain-pemain Pahang yang diketuai Azizul Kamaludin telah cuba bangkit membuat serangan bertubi-tubi ke kawasan pertahanan Sabah tetapi serangan mereka berjaya dikekang oleh pemain pertahanan Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan