Ahad, 3 November 2019

Brunei curi mata penting Tok Gajah


 BRUNEI menghampakan Pahang apabila memaksa pasukan tuan rumah mencatat keputusan seri 4-4 dalam perlawanan Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, Kuantan semalam, lapor BORHAN A. SAMAH.
Kegigihan pasukan pelawat ternyata berhasil walaupun ketinggalan 1-4 pada awal separuh masa kedua kepada Skuad Tok Gajah.
Gol pembukaan Pahang berpunca daripada pemain Brunei yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya pada minit ke-20 dan pantas dicuri Shahrulnizam Sahat untuk merembat kencang dari luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol pelawat, Ibrahim Bakar.
Selepas gol semangat itu, kesebelasan Tok Gajah terus garang menggempur pintu gol lawan.
Pasukan pelawat bagaimanapun bijak mencari ruang menyamakan kedudukan dalam keghairahan pasukan tuan rumah.
Pada minit ke-32 pemain tengah Brunei, Suni Mat Jerah melakukan larian solo selepas mendapat bola dari sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad melalui rembatan di dalam kotak penalti.
Mudzar walaupun menepis keluar bola itu tetapi pengadil perlawanan, Mohamad Sukri Mat Amin mengesahkan gol kerana bola telah melepasi garisan gol.
Bagaimanapun anak buah Jorgen Erik Larsen tidak mudah putus asa, sebaliknya mereka terus menggandakan asakan.
Lima minit kemudian Azizul memulakan gerakan dari kiri padang memaksa penjaga gol lawan keluar sebelum melorongkan bola ke Melnikov untuk menambah gol Pahang pada minit ke-37.
Azizul sekali menjadi duri dalam daging apabila melorongkan bola cantik pada minit ke-41 kepada Melnikov yang menguis bola untuk melebarkan kedudukan.
Seawal dua minit separuh masa kedua bermula Tok Gajah terus mengganas, kali ini giliran Azhar Kamaludin menjaringkan gol setelah menerima hantaran lintang sebelah kanan dari Jalaluddn Jaafar.
Brunei merapatkan jurang pada minit 61 melalui Mohd. Brian Iman. Brian melengkapkan hat-trick pada minit ke-80 untuk mengikat kedudukan 4-4.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan