Selasa, 24 Oktober 2017

Tok Gajah tak rela tewas lagi



Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
SKUAD Pahang mahu menamatkan aksi Liga Super musim ini dengan kemenangan ke atas Perak apabila mereka bertemu di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Pemain pertahanan Faisal Rosli berkata, kemenangan itu diharap mampu menebus kekecewaan apabila gagal melangkah ke final Piala Malaysia musim ini.

“Kami akan memastikan aksi terakhir liga ini mampu menang sekali gus menebus kekecewanan pada suku akhir apabila tewas kepada Perak.

“Latihan intensif termasuk aksi persahabatan dengan Shahzan Muda FC turut membantu memperkasakan pasukan dalam usaha menang ke atas The Bos Gaurus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, pemain kelahiran Rompin, Pahang itu akan memastikan jentera pertahanan Tok Gajah lebih kebal dan memastikan lawan pulang dengan kekecewaan.

“Kegagalan Perak melangkah ke final Piala Malaysia pasti menjejaskan moral mereka tapi kami tetap berhati-hati untuk memastikan kegembiraan buat Pahang,” katanya.

Musim ini, skuad Tok Gajah muncul naib juara Piala FA selepas tewas kepada Kedah pada final.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 4:14 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan