Isnin, 23 Oktober 2017

Pahang enggan menyerah awal



HAIRUDDIN (kiri) sekali lagi menjadi taruhan Pahang untuk merobek gawang Negeri Sembilan malam ini.

SEKALIPUN jentera Negeri Sembilan (NS Naza) dilihat semakin ampuh dalam mengharungi kempen Liga Super musim ini, Pahang tidak akan mudah menyerah awal ketika kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Menurut jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri akan digunakan sebaik mungkin dalam misi mereka meraih kemenangan.

Jelas Zainal, walaupun NS Naza turun selaku pasukan pilihan, anak buahnya tidak perlu gentar ketika berdepan lawan, sekali gus memberi ‘pengajaran’ berguna buat pasukan pelawat itu.

“Bukan sesuatu yang mustahil untuk Pahang membenamkan Negeri Sembilan mahupun mana-mana pasukan lawan yang lain.

“Tetapi untuk mencapai tujuan tersebut, pemain perlu mempamerkan rentak terbaik bagi memburu kemenangan,” katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Dalam pada itu, Zainal turut meminta anak buahnya supaya memberi komitmen selain tumpuan sepenuhnya bagi mengharungi aksi malam ini.

“Matlamat kita hanya satu, membolot tiga mata penuh dan membawa pasukan pada kedudukan yang terbaik,” tambah Zainal.

Pada aksi malam ini, Zainal terus menyandarkan harapan kepada penyerang, Hairuddin Omar dan pemain import dari Maghribi, Redouane Barkaoui bagi merobek gawang lawan.

“Kita harap mereka dapat menemui sentuhan gol, sekali gus membantu pasukan mencipta kemenangan di tempat sendiri,” kata Zainal.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, Pahang kini menduduki tangga kesepuluh dengan meraih sepuluh mata

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4wLVZkmLI
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan