Khamis, 2 Februari 2017

Pahang mahu kekal momentum

Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pahang yang beraksi cemerlang membenam T-Team 5-0 minggu lalu, mahu meneruskan rentak cemerlang apabila bertemu Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

Justeru, pemain tengah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (gambar) menuntut rakan sepasukan supaya mengekalkan permainan konsisten untuk merealisasikan misi meraih tiga mata.


Biarpun sedar Sarawak belum mencatat kemenangan dalam dua perlawanan dan kelebihan beraksi di laman sendiri pasti digunakan sepenuhnya untuk menggembirakan penyokong, Wan Zaharulnizam atau Kecik tetap percaya Tok Gajah mampu mengutip tiga mata.

Bagi pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu, jika komitmen dan semangat juang tinggi dipersembahkan seperti ketika menewaskan T-Team, mereka pasti tidak pulang hampa.

Pada pertemuan menentang T-Team itu, Wan Zaharulnizam antara watak penting dalam memperkasakan jentera tengah skuad Tok Gajah.

Biarpun kali pertama beraksi bersama Pahang musim ini selepas tidak bermain ketika pasukannya seri 1-1 dengan Perak pada aksi pembukaan liga, pemain berusia 26 tahun itu sudah mula mempamerkan keserasian.

Pengendali Pahang Dollah Salleh menggandingkan Wan Zaharulnizam dengan Kiko Insa, Ahmad Syamim Yahya dan Mohamadou Sumareh yang memperkemaskan jentera tengah pasukan.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:34 AM


DARI SELURUH LAMAN WEB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan