Isnin, 30 Januari 2017

Pahang mula mengorak langkah

 
MATHEUS Alves Leandro (tengah) menjadi taruhan Pahang untuk memusnahkan gawang pasukan lawan pada kempen Liga Super musim ini.

SAINGAN Liga Super musim ini baru mengharungi dua perlawanan dengan Pahang sudah memperlihatkan kebangkitan yang luar biasa.

Musim lalu, skuad Tok Gajah tersebut hampir tersingkir ke saingan Liga Premier, namun berjaya menyelamatkan diri pada saat akhir untuk terus kekal bersaing pada liga utama negara itu.

Kejatuhan juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 itu pada musim lalu berpunca daripada masalah dalaman yang menyaksikan mereka membuat pertukaran jurulatih selepas Shaharuddin Rosdi digantikan dengan Razif Ismail.

Pergolakan tersebut ternyata telah menjejaskan rentak Pahang yang sekadar menamatkan kempen musim 2016 di tempat ke-12 liga dengan 24 mata.

Tahun ini, persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membuat keputusan untuk mem­beri kepercayaan kepada bekas jurulatih skuad Harimau Malaysia, Dollah Salleh untuk memimpin Tok Gajah dan setakat ini ia mula memperlihatkan perubahan dalam skuad tersebut.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan kemam­puan Pahang musim ini tetapi berdasarkan rentak permainan yang diperagakan dalam dua perlawanan terdahulu, mereka sudah mula mendapat keyakinan dan mungkin menjadi antara pasukan pencabar tahun ini.

Pada perlawanan pembuka tirai menentang Perak di Ipoh, 21 Januari lalu, skuad kendalian Dollah itu mencatat keputusan seri 1-1 sebelum membelasah T-Team 5-0 pada aksi kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat lalu.

Ia membuktikan bahawa barisan pemain Pahang sudah memulihkan keyakinan dan bersedia untuk memberi cabaran pada saingan lima musim ini.

Namun, Dollah tidak mahu skuad kendaliannya dianggap sebagai sebuah pasukan yang mantap kerana baginya, Pahang masih belum diuji sepenuhnya.

Menurut Dollah, buat masa ini kekuatan skuad Pahang belum dapat dinilai sepenuhnya kerana saingan liga musim ini baru me­lalui dua perlawanan.

“Kami dalam proses penyusu­nan semula dengan harapan dapat memberi cabaran kepada pasukan lain, terutamanya gergasi bola sepak selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Apa pun kami akan terus berusaha untuk mengekalkan momentum agar terus meraih keputusan yang positif dalam perlawanan selepas ini. Kami juga belum diuji sepenuhnya kerana masih belum berdepan dengan pasukan hebat seperti JDT, Kedah mahupun Selangor.

“Kita akan tengok macam mana respons para pemain apabila berdepan dengan tiga pasukan gergasi itu nanti dan dari situ baru kita mendapat gambaran sebenar berkenaan prestasi skuad Pahang musim ini.

“Namun, saya tetap berharap agar barisan pemain Pahang dapat mempamerkan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang mereka harungi selepas ini,” jelas Dollah ketika ditemui selepas aksi menentang T-Team di Kuantan, Jumaat lalu.

Selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini, Pahang berada di puncak liga dengan me­ngumpul empat mata, manakala JDT dan Selangor yang turut mengumpul empat mata, ma­sing-masing menghuni tangga kedua dan ketiga.

Mereka hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan de­ngan Pahang telah menghasilkan enam jaringan dan bolos sekali.

Ia membuktikan bahawa skuad Dollah itu boleh dikatakan agak mantap di bahagian pertahanan dan serangan.

JDT pula masih dilihat pencabar utama walaupun mereka kini bertukar jurulatih pada saat akhir selepas Mario Gomez menamatkan kontraknya dengan pasukan Harimau Selatan itu.

Tugas Gomez diambil alih oleh jurulatih JDT II, Benjamin Mora yang sudah mula memperlihatkan magisnya pada perlawanan kedua menentang Felda United, Jumaat lalu.

Menurut Mora, beliau memerlukan masa bagi memastikan JDT tetap unggul seperti mana yang dibuktikan ketika di bawah kendalian Gomez musim lalu.

Turut menjadi perhatian mu­sim ini sudah pastinya Kedah, yang sudah menggenggam satu piala musim ini selepas berjaya menewaskan JDT untuk mere­but Piala Sumbangsih 2017.

Begitupun, juara Piala Malaysia 2016 itu menang menerusi penentuan sepakan penalti ke atas JDT selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi pembuka tirai, 20 Januari lalu di Larkin.

Selangor yang dilanda pelba­gai masalah dalaman ketika me­lakukan persiapan musim ini ternyata kental kerana barisan pemainnya tidak terjejas de­ngan ‘tsunami’ dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Mereka kekal fokus dan setakat ini sudah mula menunjukkan hasil yang membanggakan.

Selangor juga kehilangan beberapa pemain tonggak musim ini dan jurulatih, P. Maniam terpaksa meneruskan misi dengan mempertaruhkan pemain muda yang masih cetek pengalaman.

Perak juga antara pasukan yang perlu diawasi termasuk dua muka baharu pada kempen Liga Super iaitu Melaka United dan PKNS FC.

Apa pun, pasukan yang berjaya mengekalkan rentak konsisten, pastinya bakal diangkat sebagai juara liga bagi musim 2017.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4XEhBopM6 Hakcipta terpelihara


Tiada ulasan:

Catat Ulasan