Isnin, 20 Februari 2017

Dollah belum puas hati

20 Februari 2017 12:27 AM
KUANTAN 19 Feb. – Kemenangan besar 6-1 ke atas Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini semalam belum cukup untuk membuatkan pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh ber­puas hati dengan prestasi anak buahnya.

Penjaring gol Pahang, Mohamad Ashari Samsudin (kiri) meraikan
Penjaring gol Pahang, Mohamad Ashari Samsudin (kiri) meraikan
Bekas pemain skuad kebangsaan itu berkata, Pahang belum mencapai tahap konsisten sebagaimana disasarkan berdasarkan persembahan dan keputusan yang dicatatkan pasukan itu pada awal saingan Liga Super serta Piala FA musim ini.

“Tidak dinafikan Tok Gajah berjaya mencatat beberapa kemenangan besar tetapi ketika Pahang menentang Kedah baru-baru ini, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan. Cuma saya mengharapkan kemenangan besar ke atas Pulau Pinang dapat membakar semangat pemain untuk perlawanan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu.

Tok Gajah memperoleh ja­ringan menerusi Mohamadou Sumareh pada minit ke-16, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (minit ke-24), Joseph Kalang Tie (minit ke-66), Matheus Alves (minit ke-72) dan dua gol daripada Ashaari Samsudin pada minit ke-84 dan ke-86.

Gol tunggal Pulau Pinang dijaringkan penyerang importnya, Nigel Dabingyaba pada minit ke-31.

Dollah berkata, kelekaan pemain mengawal pihak lawan adalah antara kelemahan dalam pasukan Tok Gajah terutama ketika perlawanan bertemu skuad Harimau Kumbang yang menyaksikan Dabingyaba mudah menjaringkan gol.

“Pada separuh masa pertama, Pahang dilihat banyak bergantung kepada penyerang untuk menghasilkan gol sedangkan bahagian tengah sepatutnya membantu menggerakkan jentera serangan.

“Apabila saya menasihatkan mereka tentang kelemahan ini, kita boleh lihat perubahan corak serangan Pahang sehingga saya yakin mereka boleh mencipta lebih banyak gol,” katanya.

SUMBER Utusan Malaysia online 19.2.2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan