Jumaat, 3 Februari 2017

Dollah Salleh kembali yakin

 
DOLLAH meraikan kemenangan skuad Tok Gajah bersama-sama penyokong Pahang ketika merangkul Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada tahun 2013.

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat tekaan berhubung hala tuju skuad Tok Gajah dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

Dollah yang pernah melatih Pahang pada 2009 hingga 2013 sebelum kembali membimbing pasukan itu bagi saingan musim ini berkata, kempen Liga Malaysia baru sahaja membuka tirai 21 Januari lalu dan perjalanan untuk kembali menjulang gelaran juara Liga Super dan Piala Malaysia juga masih panjang.

“Masih terlalu awal dan perjalanan juga masih panjang,” ujar Dollah yang pernah membimbing skuad PDRM dalam saingan Liga Premier pada 2014 sebelum dipanggil mengendalikan pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, Dollah optimis terhadap prestasi semasa yang dipamerkan pemain-pemainnya ketika ini terutama selepas menyaksikan skuad Tok Gajah versi 2017 mudah membelasah T-Team 5-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan minggu lalu.

Ujar beliau, gandingan pemain-pemain import terutama dua penyerang, Mohammadou Sumareh dan Matheu Alves Leandro ketika ini dilihat mampu meletakkan semula prestasi Pahang pada kedudukan sepatutnya pada musim 2017.

“Saya lihat Sumareh dan Alves mampu melancarkan setiap perancangan yang diharapkan. Kehadiran mereka juga membangkitkan semangat rakan-rakan sepasukan dan diharap mampu membantu meningkatkan prestasi pemain-pemain lain.

“Contohnya, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mampu beraksi dengan lebih baik apabila ada pemain-pemain import seperti Sumareh dan Alves semasa perlawanan.

“Justeru, untuk kembali menjadi (pasukan digeruni) seperti dahulu, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki terutamanya dalam memastikan prestasi pemain-pemain berada pada tahap sama seperti ketika ini.

“Kalau prestasi pemain-pemain kekal seperti sekarang, saya yakin Pahang boleh kembali seperti dulu,” tambah beliau.

Selain itu, Dollah turut membayangkan cabaran lebih sengit menjelang perlawanan-perlawanan seterusnya dalam pusingan pertama kempen Liga Super kali ini.

Dollah menambah, Pahang terlebih dahulu harus melepasi halangan tiga pasukan yang disifatkan sebagai terhandal musim ini iaitu Selangor, Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah pada separuh pertama kempen liga.

Menurutnya, prestasi Pahang yang berada di puncak liga dengan kutipan empat mata selepas mencetak enam gol dan satu bolos termasuk semasa mengikat Perak 1-1 di Ipoh pada 21 Januari lalu disifatkan sebagai belum cukup kuat untuk menghadapi tiga pasukan handal tersebut.

“Saya hanya boleh benar-benar yakin dengan kemampuan Pahang sama ada boleh atau tidak (kembali menjadi juara) apabila sudah bertemu Selangor, JDT dan Kedah. Selepas itu, baru saya boleh kata Pahang sudah kembali kuat.

“Saya sentiasa sedar mengenai perkara itu,” tambah Dollah yang pernah berjaya membawa Pahang kembali beraksi dalam kancah Liga Super 2013 selepas meraih tempat kedua bagi saingan Liga Premier 2012.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah baru-baru ini turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Dollah meletakkan semula imej pasukan itu di tempat sepatutnya.

“Kemampuan Dollah sudah terbukti sebelum ini (2009 hingga 2013). Saya yakin Dollah akan mampu membimbing pasukan dengan baik apabila kembali ke Pahang untuk musim ini,” kata beliau

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4XbyrP8Ml Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan