Isnin, 30 Januari 2017

Dollah: Kekuatan Pahang belum diuji sepenuhnya

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK

PEMAIN Pahang, Wan Zaharulnizam (depan) berjaya meloloskan diri daripada kawalan pemain T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin yang menyaksikan Pahang menang 5-0.

KEKUATAN pasukan Pahang masih belum diuji sepenuhnya kerana saingan Liga Super kini masih berada pada peringkat awal.

Demikian tegas jurulatih Pahang, Dollah Salleh kelmarin selepas menyaksikan skuad kendaliannya itu mencatat kemenangan besar, 5-0 ke atas T-Team di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dollah menyifatkan kekuatan skuad Tok Gajah masih belum boleh dibanggakan selagi mereka tidak membuat perhitungan dengan tiga pasukan yang dianggap terkuat pada kempen Liga Super musim ini.

Menurutnya, meskipun Pahang mencetak kemenangan bergaya selepas membelasah T-Team 5-0, namun kekuatan sebenar pasukan itu hanya akan teruji sepenuhnya apabila mereka bertemu Kedah, Selangor serta Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.

“Malam ini (kelmarin), pemain-pemain telah menunjukkan segala yang diharapkan (ketika membelasah T-Team) dan pasukan juga nampak mantap. “Tapi, selagi tidak berdepan tiga pasukan terkuat pada kempen liga, saya tidak dapat menilai kekuatan Pahang dengan sepenuhnya.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan Pahang sudah mendapat (kesebelasan) yang terbaik. Perjalanan masih jauh dan apa yang penting, para pemain dapat mengekalkan prestasi,” ujar Dollah ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan menentang T-Team, malam kelmarin.

Ujian sebenar yang pertama buat Pahang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 11 Februari ini, diikuti cabaran perlawanan kedua menentang JDT (3 Mac) di Larkin sebelum kembali beraksi di Stadium Darul Makmur untuk melayan kunjungan Selangor pada 15 April depan.

Mengulas prestasi ditunjukkan pemain Pahang ketika menundukkan T-Team, Dollah berkata, beberapa tonggak import seperti Mohammadou Sumareh serta Matheu Alves Leandro telah mempamerkan prestasi yang diharapkannya.

“Pemain-pemain import banyak membantu pasukan terutama di bahagian serangan. Selain itu, pemain tempatan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria juga memainkan peranan terbaik ketika memporak-perandakan T-Team.

“Sebenarnya, telah banyak pertukaran untuk senarai kesebelasan utama dibuat sebelum ini. Semasa menentang Perak pun kita masih dalam keadaan menilai pemain terbaik untuk berada dalam skuad utama.

“Dengan gandingan pemain-pemain terbaik yang ada dalam pasukan ketika ini, saya harap pemain-pemain lain juga terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi masing-masing,” ujar Dollah lagi.

Pada perlawanan malam kelmarin, Pahang meraih gol menerusi Mohammadou pada minit ke-13, diikuti dua gol menerusi Matheu (m-54 dan m-73), Jae-won Heo (m-64) dan Chinedu Bright Ezendu (m-84).

Pahang yang mengumpul empat mata selepas mengharungi dua perlawanan liga setakat ini telah meletakkan skuad tersebut berada di puncak liga manakala JDT yang turut mengutip empat mata berada di tempat kedua atas perbezaan jumlah jaringan gol.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4X8Mkt9E8 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan