Ahad, 2 November 2014

Tok Gajah rangkul trofi kedua

Tok Gajah rangkul trofi kedua
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK (sukan@utusan.com.my)  |  02 November 2014 3:25 AM
 PAHANG
PAHANG

KUALA LUMPUR - Trofi keagungan bola sepak negara, Piala Malaysia kekal di bumi Pahang buat tahun ke­dua berturut-turut apabila Tok Gajah membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam perlawanan akhir edisi ke-88 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Tambah manis apabila Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-68 apabila pemain pertahanan Saiful Nizam Miswan menerima kad merah.

Wira Pahang adalah pemain yang akan mengubah haluan ke PDRM pada musim hadapan, Mohd. Hafiz Kamal yang memberikan hadiah perpisahan paling bermakna apabila menyempurnakan sepakan terakhir bagi memastikan Tok Gajah menjulang Piala Malaysia buat kali keempat.

Pada situasi kedudukan 4-3 selepas sepakan Norshahrul Idlan Talaha berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid, Hafiz tenang menyepak tinggi ke sebelah kiri untuk menewaskan Mohd. Al-Hafiz Hamzah.

Ini merupakan gelaran berganda buat Pahang di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan, selepas merangkul Piala FA musim ini. Ini juga bermakna Pahang me­lebarkan rekodnya ke atas juara Liga Super itu kepada lima kemenangan dalam semua pertandingan musim ini.

Kemenangan itu bukan sesuatu yang mudah buat Pahang ekoran terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain semenjak minit ke-68 kerana Saiful Nizam dibuang padang kerana menumbuk perut Mohd. Amri Yahyah ketika pasukannya ketinggalan 1-2.

Namun, api perjuangan Tok Gajah tidak padam apabila mereka masih mampu bangkit mendapatkan gol penyamaan dua minit kemudian melalui penyerang dari Nigeria yang digelar Orang Besi, Dickson Nwakaeme.

Sebelum itu, dia terlebih dahulu meletakkan Pahang di hadapan pada minit ke-14 apabila menanduk masuk sepakan bebas Azidan Sarudin dari sebelah kiri gawang JDT.

Walaupun begitu, gol berkenaan langsung tidak mematahkan semangat JDT yang kelihatan lambat panas dan mereka secara perlahan-lahan membina momentum untuk menggempur kubu Tok Gajah.

Kelebihan yang dimiliki oleh Pahang sekadar bertahan 17 minit apabila penyerang dari Argentina, Jorge Pererya Diaz merembat kencang ke penjuru pintu gol selepas menerima hantaran menarik rakan senegara, Luciano Figueroa.

Dua minit kemudian, suasana permainan secara tiba-tiba berubah selepas jaringan berkenaan dan tuah memihak kepada JDT apabila dianugerah sepakan penalti selepas ketua pasukan Pahang, Mohd. Razman Roslan menepis bola dengan tangan untuk menghalang Figueroa mendapatkannya.

Penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid, ternyata tidak dapat menduga arah sepakan Figueroa dan bekas pemain antarabangsa Argentina itu tidak berdepan masalah untuk merakamkan jaringan ke­sembilannya bersama JDT dalam pentas Piala Malaysia.

Walaupun Pahang berjaya bangkit mendapatkan gol penyamaan di babak kedua, sebenarnya JDT mampu menamatkan perlawanan akhir itu lebih awal pada minit ke-86 namun tiang menjadi penghalang biarpun Pererya Diaz telah berjaya menewaskan Khairul Azhan.

Dua kesempatan terbaik buat Pererya Diaz pada minit kelapan dan 10 masa tambahan gagal dimanfaatkan dengan kedua-dua percubaannya tersasar untuk memaksa pemenang ditentukan melalui sepakan penalti.

JDT: Al-Hafiz Hamzah; Asrarudin Putra Omar, Marcos Antonio Santos, Mohd. Fadhli Shas, Mahalli Jasuli (Amirul Hadi, m63); Jasazrin Jamaludin, Safiq Rahim (ketua pasukan), Mohd. Shakir Shaari, Amri Yahyah; Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz.

Pahang: Md. Khairul Azhan; Mohd. Saiful Nizam, Md. Razman Roslan (ketua pasukan), Damion Steward, Md. Shahrizan Md. Salleh; Azamuddin Md. Akil, Azidan Sarudin, Mohd. Faizol Hussien (Mohd. Hafiz Kamal, m63), R. Gopinathan; Matias Conti (Zeshan Rehman, m77), Dickson Nwakaeme.
-sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-rangkul-trofi-kedua-1.19573#sthash.E6ADjoUw.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan