Ahad, 2 November 2014

Tewas tak jejas misi Johor DT



Tewas tak jejas misi Johor DT

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my
 
PARA pemain Johor diingatkan agar jangan kecewa selepas tewas kepada Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 malam kelmarin, sebaliknya mereka harus terus berjuang dalam misi melonjakkan kegemilangan bola sepak Johor.

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kegagalan pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) membawa pulang Piala Malaysia musim ini bukanlah pengakhiran buat skuad dari selatan tanah air itu.

Sebaliknya, Tunku Ismail menjelaskan bahawa kekalahan 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Pahang pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin hanyalah satu halangan kecil yang tidak seharusnya menjejaskan misi pasukan Johor DT pada masa hadapan.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu, kekalahan adalah satu fenomena biasa yang akan dihadapi oleh setiap pasukan hebat dunia dalam sukan bola sepak dan ia tidak seharusnya dipandang negatif oleh pemain dan penyokong Harimau Selatan.

“Musim ini merupakan satu musim yang cemerlang buat Johor DT. Tentunya ia (menjadi) lebih hebat sekiranya kita menang pada malam ini (kelmarin). Tetapi kita perlu terima keputusan (kekalahan) ini dan terus maju ke hadapan kerana hidup mesti diteruskan.

“Kita telah berusaha gigih untuk mencapai matlamat yang kita idamkan. Kita mestilah sentiasa kekal bermotivasi dengan (memiliki) dorongan untuk mencapai kejayaan dan bukannya keinginan untuk menjatuhkan orang lain,” titah Tunku Ismail dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers semalam.

Selepas berjanji untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor pada 2012, transformasi yang dilakukan Tunku Ismail kini sudah mula membuahkan hasil.

Visi dan misi baginda untuk memajukan sukan bola sepak Malaysia diterjemahkan menerusi pengurusan kelab dan fasiliti yang bertaraf profesional selain kejayaan membawa pulang trofi Liga Super buat kali pertama sejak lebih dua dekad lalu turut berjaya menyatukan kembali seluruh penyokong bola sepak di negeri Johor.

Namun, hajat Tunku Ismail untuk melihat pasukan Johor DT merangkul gelaran berganda tidak kesampaian apabila mereka tumbang kepada juara bertahan, Pahang menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.

Menurut baginda, ia satu pertembungan final yang paling menarik serta penuh berkualiti pernah dipamerkan dalam senario bola sepak Malaysia setakat ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang kerana telah berjaya memenangi Piala Malaysia dua tahun berturut-turut. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada para pemain pasukan Johor DT kerana telah berusaha sedaya upaya mereka.

“Tidak dilupakan juga, setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Johor kerana sentiasa setia bersama pasukan walau apa juga rintangan yang telah dihadapi. Terima kasih kerana bersatu sebagai rakyat Johor dan memberi sokongan kepada pasukan kebanggaan dan kesayangan kita,” titah baginda lagi.

Tunku Ismail juga menasihati semua pemain dan penyokong Johor DT supaya menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka supaya ia tidak dipandang negatif dan mempengaruhi agenda utama pasukan Harimau Selatan itu pada masa hadapan.

“Janganlah bersedih dan janganlah hampa kerana kita masih bernafas. Perjuangan belum berakhir, ia hanya sedikit halangan dalam perjalanan kita. Jangan berputus asa dan terus pandang ke hadapan.

“Marilah kita terus bersyukur dan kekal positif. Jangan dinilai hari kita dengan apa yang dituai, tetapi (nilailah) dengan benih yang disemai.

“Peristiwa yang telah berlaku tidak dapat diubah, tetapi kita masih mampu mempengaruhi masa depan kita. Kejayaan bukannya diukur dengan kedudukan seseorang itu, tetapi dengan segala rintangan yang diatasi untuk mencapainya.

“Sayangilah orang yang tersayang, hargai apa yang kita miliki, dan teruskan hidup. Jumpa lagi di musim hadapan,” titah baginda.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3Hy5kUiZUHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan