Isnin, 17 November 2014

PBNP mahu kekal Nwakaeme


Oleh Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengharapkan awang import Dickson Nwakaeme (gambar) terus bersama Pahang musim depan dalam usaha mempertahankan kejuaraan dimiliki musim ini.
Ini ditegaskan pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh yang berpendapat khidmat ‘orang besi’ itu amat diperlukan bagi memantapkan lagi pasukan Tok Gajah menghadapi pencabar Liga M.
“Kita masih menanti perkembangan terbaru Dickson yang kini menjalani ujian dengan kelab di Perancis. Sudah hampir seminggu dia di sana.
“Kita terpaksa lupakan dia sekiranya menerima tawaran daripada kelab terbabit.
“Saya harap Dickson terus bersama Pahang dalam usaha kita mempertahankan Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih,” katanya.
Che Nasir berkata, andai Dickson memilih untuk berubah angin, PBNP terpaksa memikirkan alternatif lain.
Katanya, perbincangan dengan Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan jurulatih Zainal Abidin Hassan akan diadakan secepat mungkin bagi menyelesaikan perkara itu.
Beliau berkata, PBNP kini mempunyai tiga pemain import, Zeshan Rehman, Damion Stewart dan Matias Conti yang bersetuju menyambung kontrak masing-masing musim depan.
Menurutnya bagi pemain tempatan pula, kontrak baru akan disediakan untuk mereka teliti sebelum membuat keputusan.
“Presiden PBNP memutuskan untuk mengekalkan semua pemain termasuk jurulatih musim ini. Keputusan itu dibuat bagi mengekalkan rentak kejayaan.
“Saya gembira apabila dimaklumkan kebanyakan pemain membuat keputusan untuk terus kekal,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:09 AM
- Sumber://www.hmetro.com.my/node/8961#sthash.Rb3SYS9T.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan