Selasa, 4 November 2014

Ganjaran dua kali ganda

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB (nahar.latib@utusan.com.my)  |  04 November 2014 1:13 AM

 SKUAD Pahang dibawa berarak sekitar bandar Kuantan dengan menaiki
SKUAD Pahang dibawa berarak sekitar bandar Kuantan dengan menaiki
SKUAD Pahang dibawa berarak sekitar bandar Kuantan dengan menaiki bas tidak berbumbung bagi meraikan kejayaan mereka merangkul Piala Malaysia di Kuantan, semalam. – UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN - Jika tahun lalu, pemain Pahang menerima ganjaran RM30,000 seorang daripada kejayaan memenangi Piala Malaysia, namun tahun ini imbuhan yang bakal diterima boleh diibaratkan sebagai `durian runtuh’ apabila jumlah itu digandakan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada majlis sambutan kepulangan skuad Tok Gajah yang memenangi Piala Malaysia di perkarangan Stadium Darul Makmur di sini, semalam.
Adnan berkata, jumlah tersebut sangat berbaloi dengan kejayaan mereka mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-3 melalui penentuan sepakan penalti.
"Saya tidak mahu bagi tahu berapa, tetapi jumlahnya adalah 'double' daripada tahun sebelum ini. Saya rasa ganjaran tersebut sangat berbaloi untuk mereka," katanya di sini semalam.
Pada tahun lalu, Adnan mengumumkan ganjaran wang tunai RM30,000 kepada seluruh pemain, pegawai termasuk pasukan sokongan skuad Tok Gajah ekoran kejayaan mereka memenangi Piala Malaysia 2013.
Ini bermakna skuad Tok Gajah bakal menerima imbuhan lumayan sebanyak RM60,000 daripada kerajaan negeri jika mengambil kira ganjaran yang diterima juara berganda itu pada tahun lepas.
Menurut Adnan, ganjaran tersebut akan diberikan kepada seluruh pasukan termasuklah pemain, pegawai dan pasukan sokongan.
"Semua yang terlibat kita akan bagi termasuklah tukang buat air. Jumlah itu nanti kita umumkan, tetapi yang pasti ganjaran ini kita akan berikan secepat mungkin," katanya.
Dalam pada itu katanya, kejayaan yang dikecapi oleh Pahang ini merupakan usaha Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang tidak mengenal erti lelah dalam memajukan bola sepak Pahang.
"Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan Pahang, tetapi tanpa sokongan penyokong kita tidak akan sampai ke tahap ini," katanya.
Pada aksi akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, Pahang berjaya menundukkan pasukan JDT 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 2-2.
Kejayaan itu juga merupakan kali kedua berturut-turut berjaya dicatat Pahang selepas memenangi trofi yang sama pada tahun lalu setelah menundukkan Kelantan 1-0.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ganjaran-dua-kali-ganda-1.20461#sthash.7YjLaci4.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan