Rabu, 28 Mei 2014

Usah cetus provokasi!

Oleh Asrol Awang
Kuantan: Bukan saja penyokong Pahang, malah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dinasihat tidak membuat kecoh pada aksi separuh akhir kedua Piala FA apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Perlawanan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah berkata, pihaknya tidak mahu kekecohan berlaku hingga boleh dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


“Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) yang bukan saja didenda RM140,000, malah terpaksa bermain tanpa penonton disebabkan kekecohan segelintir penyokong.

“Atas sebab itu kita menasihatkan penyokong Pahang dan Johor DT supaya menjaga tingkah laku mereka sepanjang berada di stadium dan selepas perlawanan berakhir.

Foto
RAJA Mustafa (kanan) bersama Abdul Aziz pada Mesyuarat Pengurusan Perlawanan PBNP di Kuantan, semalam.


“Tujuan kita ke stadium bagi memberikan sokongan terhadap pasukan masing-masing dan bukannya datang untuk bergaduh hingga menyebabkan kekecohan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Perlawanan PBNP di sini, semalam.


Hadir sama, Setiausaha Agung PBNP Fuzzeimi Ibrahim dan Ketua Polis Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh.

Ditanya jumlah tiket yang akan dijual pada perlawanan Jumaat ini, Raja Mustafa Shah berkata, PBNP memperuntukkan 32,500 keping tiket yang mula dijual pada jam 9 pagi esok.

Menurutnya, lapan kaunter termasuk satu untuk wanita disediakan buat peminat bagi mengelak penyokong berasak-asak.

“Bagaimanapun, setiap individu hanya dibenarkan membeli empat tiket dan sebaik-baiknya pemegang tiket dinasihat memasuki stadium sebelum jam 8 malam.

“Langkah itu bagi memastikan tidak berlaku kekecohan disebabkan kehadiran penyokong pada saat akhir boleh mencetuskan masalah.

“Sebanyak 60 alat pengimbas digunakan untuk memeriksa tiket bagi memastikan penyokong memiliki tiket yang mempunyai logo FAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Artikel ini disiarkanMy Metro pada : 2014/05/28

Tiada ulasan:

Catat Ulasan