Jumaat, 16 Mei 2014

JDT lepas peluang selepas dua kali mendahului

 Pemain JDT Luciano Gabriel Figueroa meraikan jaringannya bersama Jorge Pereyra Diaz dan Mohd Amri Yahyah pada perlawanan Liga Super JDT menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin di sini hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Kesilapan penjaga gol Johor Darul Ta'zim, Mohd. Izham Tarmizi pada minit terakhir membantutkan hasrat Harimau Selatan untuk mendapatkan tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam, apabila kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 2-2.

Keputusan itu juga menyebabkan kedua-dua pasukan mampu tercicir semakin jauh daripada pendahulu, Selangor yang akan menentang Sime Darby malam ini.

Walaupun mendahului 2-1 hingga minit ke-88, pemain sayap kiri Tok Gajah, R. Gopinathan mengecewakan JDT apabila percubaannya dari sebelah kiri gagal ditampan kemas oleh Izham yang menyaksikan bola melantun ke dalam gawang.

Sebelum itu, Luciano Figueroa meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-26 namun berjaya disamakan oleh Azamuddin Akil sepuluh minit kemudian sebelum tuan rumah sekali memimpin permainan menerusi Safiq Rahim, minit ke-48.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati dalam mengatur serangan sebaik perlawanan bermula.

Usaha berterusan anak buah Bojan Hodak akhirnya berhasil selepas penyerang dari Argentina, Figueroa menyambut umpanan pemain senegara, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-26.

Namun kelebihan yang dimiliki JDT tidak bertahan lama apabila gerakan solo Gopinathan dari garisan tengah berjaya menewaskan pemain pertahanan lawan, Mahali Jasuli sebelum disudahkan oleh Azamuddin.

Masuk babak kedua perlawanan, JDT sekali lagi mendahului menerusi Safiq Rahim pada minit ke-48 yang menyempurnakan hantaran Diaz dari kiri.

Pahang menggandakan asakan dan kerja keras mereka membuahkan hasil apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-88 setelah rembatan Gopinathan ditampan masuk oleh Izham ke gawang sendiri.

Di Stadium Negeri, Sarawak meraih kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC melalui jaringan Joseph Kalang Tie pada minit ke-57 dan percubaan solo Muamer Salibasic, minit ke-83 sementara gol pelawat terhasil menerusi gol Mohd. Fauzan Dzulkifli pada minit ke-77 dalam perlawanan yang menyaksikan pergaduhan sesama penonton.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140517/su_02/JDT-lepas-peluang-selepas-dua-kali-mendahului#ixzz31vbkef00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan