Khamis, 26 Julai 2018

Dollah pening

MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
DOLLAH Salleh berdepan situasi sukar untuk memilih kesebelasan utama Pahang menjelang pertembungan getir menentang  Johor Darul Ta'zim (JDT) pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Ketua jurulatih skuad Tok Gajah itu berkata, setakat ini dua pemain utama iaitu Matthew Davies dan Safuwan Baharudin masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Tambah memeningkan bekas pemain kebangsaan itu apabila pemain tengah, Mohamadou Sumareh demam panas manakala Norshahrul Idlan Talaha pula hanya dapat bersama pasukan esok kerana isterinya keguguran.

"Setakat ini, apa yang boleh saya katakan keputusan sama ada Davies, Safuwan, Sumareh dan Mat Yo (Norshahrul) dapat beraksi atau tidak hanya diketahui esok.

“Bagaimanapun, saya tetap membawa mereka ke Larkin. Jika mereka tidak dapat beraksi, saya tiada pilihan lain, sebaliknya mengharapkan pemain yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan tugas masing-masing," katanya hari ini.

Dolah berkata, berdasarkan keputusan seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama lalu, beliau berharap ia akan mendorong skuad itu untuk mempamerkan prestasi yang terbaik di Larkin sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.

Malah, beliau menegaskan peluang untuk menewaskan JDT sekali lagi di suku akhir trofi berprestij itu tetap ada walaupun skuad Tok Gajah berdepan situasi sukar termasuk kecederaan tetapi ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pemain.

"Saya kini mengharapkan keajaiban sebelum bertemu JDT untuk memastikan Pahang layak ke separuh akhir," katanya.

SUMER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 7:04 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan