Sabtu, 17 Mac 2018

Sumareh aibkan juara bertahan


Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
PAHANG layak ke suku akhir Piala FA selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Kedah di Stadium Darul Makmur, di sini sebentar tadi.

Jaringan tunggal pemain import Gambia, Mohamadou Sumareh pada babak pertama sudah cukup menceriakan penyokong skuad Tok Gajah.

Namun pasukan tuan rumah terpaksa mengeluarkan penyerang berbisa, Forkey Doe yang mengalami kecederaan dan diganti dengan Norshahrul Idlan Talaha untuk memperkasakan jentera serangan.

Ketiadaan Doe ternyata memberi impak di bahagian serangan walaupun tuan rumah berusaha untuk menguji pertahanan lawan.

Kedah yang jarang melakukan serangan memiliki peluang terbaik mereka menerusi Liridon Krasniqi pada minit ke-24.

Akhirnya, penantian Pahang untuk mendapat jaringan pendahuluan berhasil selepas Sumareh menewaskan penjaga gol  Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, skuad Tok Gajah berusaha untuk menambah gol tetapi dinafikan benteng pertahanan lawan.

Skuad Helang Merah kendalian Ramon Marcote turut melancarkan serangan dan memiliki beberapa peluang tetapi dinafikan penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias dan terpaksa akur gagal mempertahankan piala itu.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 12:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan