Ahad, 18 Mac 2018

Pahang singkir juara bertahan Piala FA


Pahang singkir juara bertahan Piala FA
18 Mac 2018 3:00 AM

PEMAIN JDT, LaVere Corbin-Ong (kanan) mengawal bola daripada dirampas pemain UiTM FC, pada aksi Piala FA yang menyaksikan skuad JDT menang 3-2 di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi.

PAHANG akhirnya menebus kekecewaan final Piala FA musim lalu apabila menyingkirkan juara bertahan, Kedah selepas menang tipis 1-0 pada aksi pusingan ketiga di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Pada Mei tahun lalu, skuad Tok Gajah dikecewakan oleh skuad Helang Merah selepas tumbang 2-3 kepada Kedah pada aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor.


Bagaimanapun, Mohamadou Sumareh memastikan pasukan bimbingan Dollah Salleh tidak lagi kecundang di tangan Kedah apabila meledak gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan separuh masa pertama sekali gus mara ke peringkat suku akhir Piala FA.

Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila layak ke suku akhir dengan menewaskan UiTM FC 3-2 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Dalam aksi itu, Safawi Rasid muncul sebagai wira skuad Harimau Selatan apabila mencipta hatrik selepas meledak gol pada minit ke-11, 41 dan 72.

UiTM bangkit memberikan tekanan kepada juara empat kali berturut-turut Liga Super itu bermula jaringan pertama hasil daripada Lucas Ramon (m-45) disusuli gol Faiz Mohd. Bandong (m-90) tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Lain-lain keputusan menyaksikan Perak menang ke atas Pulau Pinang 3-1 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, manakala PKNS menang besar ke atas Kelantan 4-1 di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Kuala Lumpur meraih slot ke suku akhir apabila menewaskan Melaka United 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan.
SUMBER-KOSMO ONLINE 18 Mac 2018 3:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan