Jumaat, 30 Mac 2018

Fokus tanpa Doe

Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
BIARPUN tanpa penyerang berbisa, Francis Forkey Doe yang ditimpa kecederaan, pasukan Pahang tetap kekal fokus untuk mencatat keputusan terbaik dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Berada di kedudukan kedua Liga Super dan layak ke suku akhir Piala FA jelas memerlukan komitmen dan semangat juang tinggi untuk mencapai misi meraih kejuaraan.

Pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli berkata dia dan rakan sepasukan akan meneruskan perancangan pasukan untuk mencapai misi meraih kejuaraan.

Katanya, kecederaan yang menimpa Doe tidak akan melemahkan semangat skuad Tok Gajah dalam misi mengucup piala berpestij.

“Kami perlu kekal konsisten dan bermain mengikut perancangan jurulatih (Dollah Salleh) dan setakat ini kami menjalani latihan intensif,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah, Nor Azam Azih, dia dan rakan akan memastikan kejayaan bermakna diraih skuad Tok Gajah biarpun tanpa penyerang Liberia itu.

Katanya, perjuangan perlu diteruskan untuk meletakkan Pahang pada prestasi terbaik dan mencapai misi muncul juara dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Kami akan melakukan yang terbaik dan sokongan padu daripada peminat ditagih sebagai motivasi,” katanya.

Semalam, Pahang mengesahkan kehilangan khidmat Forkey Doe kerana mengalami kecederaan serius pada kaki kanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 7:18 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan