Ahad, 18 Mac 2018

Pahang miliki penggempur berbisa


Patrick, Forkey Doe jadi taruhan skuad Tok Gajah robek gawang Kedah
Shahrulanoor Ishak
16 Mac 2018 3:00 AM

FORKEY DOE (kiri) jadi taruhan Pahang untuk merobek gawang Kedah pada aksi Piala FA di Kuantan esok.

GANDINGAN mantap Patrick Cruz (gambar kecil) dan Francis Forkey Doe dalam skuad Pahang dilihat bakal memberi ancaman getir buat Kedah menjelang pusingan ketiga saingan Piala FA 2018 di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.

Ketika aksi Liga Super di Kuantan, Sabtu lalu, Patrick bersama Forkey Doe mempamerkan peningkatan apabila masing-masing menjaringkan dua gol bagi mencetak kemena­ngan 4-0 ke atas Negeri Sembilan.


Semasa aksi Liga Super pada 24 Februari lalu pula, Patrick turut mencetak satu gol buat skuad Tok Gajah, manakala Forkey Doe menyudahkan dua jaringan termasuk satu sepakan penalti ketika menumpaskan Selangor 3-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Sehubungan itu, Dollah Salleh selaku ketua jurulatih Pahang memuji keberkesanan dipamerkan kedua-dua penyerang tersebut yang semakin mempamerkan peningkatan positif.

Menurut bekas pe­ngendali skuad kebangsaan itu, Forkey Doe kerap melakukan hantaran penting untuk memudahkan tugas jentera tengah, sekali gus membuka peluang kepada Pahang untuk memulakan rentak sera­ngan pantas diketuai Patrick.

Keserasian kedua-dua penye­rang tersebut sekali gus memberi impak positif kepada skuad Tok Gajah untuk menghadapi Kedah esok.

Sebagai rekod, Pahang tewas kepada Kedah 2-3 pada aksi final Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam, Mei tahun lalu.

Pahang bagaimanapun bangkit menewaskan Kedah 2-1 pada pusingan kedua Liga Super 2017, Ogos tahun lalu selepas terdahulu dibelasah 4-1 ketika bertandang ke Alor Setar dalam aksi pusingan pertama liga musim lalu.

Bagi pertemuan kali ini, Pahang dilihat memiliki kelebihan untuk menghadapi skuad He­lang Merah menerusi gandingan Patrick bersama Forkey Doe.

Patrick berkata, dia bersama Forkey Doe sudah menemui persefahaman ketika sesi latihan dan optimis untuk menterjemahkan kemenangan buat pasukan.

“Kami mula menjalani latihan bersama sejak awal Fe­bruari lalu dan kini, segalanya (perancangan semasa latihan) menjadi semakin mudah untuk kami lakukan pada perlawanan sebenar.

“Saya dan Forkey Doe juga boleh beri jauh lebih bagus untuk pasukan ini apabila menghadapi perlawanan akan datang (menentang Kedah),” ujar penye­rang dari Brazil berusia 24 tahun itu.
SUMBER-KOSMO ONLINE 16 Mac 2018 3:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan