Sabtu, 25 November 2017

Pahang, Perak bersih dari gejala rasuah

ARKIB : 02/05/2008
KUANTAN - Siasatan yang dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) Pahang mendapati tiada kes membabitkan pasukan bola sepak negeri itu dengan isu rasuah, lapor SITI MARIAM MD. ZAIN.

Pengarahnya, Sutinah Sutan ketika dihubungi berkata, sehingga kini, pihaknya belum menjumpai sebarang petanda menunjukkan pasukan Tok Gajah itu boleh disabitkan dengan sebarang kes.

''Hasil risikan yang dijalankan termasuk berjumpa dengan beberapa individu yang kita rasa boleh membantu, mendapati setakat ini tiada kes," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, jurulatih pasukan bola sepak Pahang, Zainal Abidin Hassan ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa skuad di bawah bimbingannya itu bersih dan tidak terlibat dengan unsur-unsur rasuah.

''Berita itu (rasuah) hanya khabar angin, setakat ini (pasukan bola sepak) Pahang bersih," katanya.

Kelmarin, bekas pemain bola sepak Sarawak Liga Super, Ramos Sari yang direman bagi membantu siasatan berhubung penglibatannya mengatur perlawanan bola sepak di negara ini, dibebaskan dengan jaminan BPR.

Pengarah BPR Sarawak, Mohamad Yusoff Akope berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, di Ipoh, BPR Perak tetap memberi perhatian kepada isu rasuah bola sepak negeri itu walaupun ia kurang diperkatakan oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Presiden Kelab Peminat Bolasepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman memberitahu, dia telah dipanggil oleh BPR Perak minggu lalu bagi membantu siasatan pihak berkuasa itu mengenai kemungkinan ada timbulnya isu rasuah di kalangan pemain Perak.

''Seorang pegawai BPR bertanya sama ada kami mengetahui atau mendengar mengenai desas-desus rasuah bola sepak di kalangan pemain negeri ini dan saya menjelaskan bahwa setakat ini isu itu tidak pernah dikatakan," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar berkata, beliau juga tidak mendengar sebarang khabar angin bahawa rakan-rakannya terlibat dalam perkara tersebut.

''Saya percaya skuad Seladang bersih daripada gejala berkenaan," kata Shahrul ketika ditemui di Ipoh.

Dia memberitahu, bahawa pemain yang terlibat dalam rasuah bola sepak tidak mendapat sebarang keuntungan sebaliknya hanya akan menjatuhkan maruah diri, keluarga dan negeri sahaja.

Sebelum ini, bekas pemain Perak tahun 1960-an dan 1970-an, Baharin Khamis mencadangkan supaya pemain-pemain yang terlibat dalam gejala rasuah supaya digantung seumur hidup.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zRQCk8iU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan