Ahad, 19 November 2017

Kemenangan ubat luka Tok Gajah



ARKIB : 10/04/2008

Oleh YUSRI SAHAT

KUANTAN - Kemenangan Pahang ke atas Sabah 3-1 dalam suku akhir pertama Piala FA, kelmarin diibaratkan membalut luka skuad Tok Gajah yang menunjukkan prestasi kurang meyakinkan dalam Liga Super sepanjang musim ini.

Kemenangan itu memberi sedikit pengharapan buat Pahang untuk menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada musim ini.

Meski pun masih awal untuk membuat rumusan, peluang ke separuh akhir Piala FA dilihat cerah jika persembahan malam kelmarin dijadikan sandaran apabila bertemu Sabah pada suku akhir kedua di Likas pada 22 April ini.

Perkara itu diakui Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menerusi riak wajahnya yang terpampang kelegaan selepas anak buahnya menunjukkan persembahan meyakinkan ketika membenam Sabah kelmarin.

Zainal yang ditemui selepas perlawanan bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hatinya terhadap persembahan anak-anak buahnya terutama pada separuh masa pertama.

Persembahan kurang konsisten menyebabkan Sabah berjaya mencuri satu gol menerusi Bobby Gonzales, ujarnya.

''Corak permainan kembali teratur dan berdisiplin pada separuh masa kedua sehingga Pahang berjaya membolos gawang lawan sebanyak tiga kali sehingga tiupan wisel terakhir.

''Pun begitu, kita terlepas beberapa peluang keemasan yang membolehkan Pahang menambah jaringan," katanya.

Berbekal dua gol di tangan, Zainal mengingatkan anak-anak buahnya bahawa kedudukan Pahang masih belum selamat apabila bertandang ke tempat lawan selepas ini.

''Sabah pastinya akan menggandakan usaha untuk memastikan hasrat Pahang ke separuh akhir berkecai," tegasnya.

Kali terakhir Pahang menjulang Piala FA ialah pada 2006 ketika menewaskan Perlis.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yrpnTM1B
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan