Rabu, 22 November 2017

Pahang masih mengharap



ARKIB : 21/04/2008 
KUANTAN - Persembahan meyakinkan ketika menewaskan Perlis 1-0 dalam saingan Liga Super semalam memberi harapan buat Pahang yang bakal berhadapan dengan Sabah dalam pusingan kedua Piala FA di Likas esok, lapor YUSRI SAHAT.

Kemenangan ke atas Sabah dianggap misi penting bagi meneruskan sisa perjuangan Juara Piala FA 2006 itu yang kini kempunan untuk muncul antara pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun, menurut Zainal Abidin, bekalan 3-1 ketika menang di sini pada pusingan pertama Piala FA 8 April lalu, bukan jaminan untuk Pahang melangkah ke peringkat seterusnya.

''Kita masih ada 90 minit lagi untuk menghadapi Sabah dan pasukan itu pasti akan bermati-matian untuk menewaskan Pahang.

''Perlawanan Liga Super malam ini (kelmarin) merupakan persediaan Pahang untuk berdepan dengan Sabah dalam saingan Piala FA," jelasnya.

Beliau turut berpuas hati dengan persembahan V. Saravanan yang buat pertama kali diturunkan selepas direhatkan dalam banyak perlawanan sebelum ini.

Dengan corak permainan yang ditunjukkan Saravanan itu, beliau tidak menolak kemungkinan pemain itu akan diturunkan untuk bertemu Sabah nanti.

Zainal turut lega apabila pemain pertahanan importnya, Keita Baubacar akan dapat diturunkan semula pada pertemuan itu nanti selepas hukuman gantung tiga perlawanan tamat.

Bagaimanapun, Zainal Abidin memberitahu, pihaknya mungkin akan membuat sedikit rombakan terutama pada bahagian pertahanan dan tengah sebelum bertemu Sabah.

Mengulas persembahan Pahang sepanjang saingan Liga Super musim ini, katanya, pasukannya disifatkan lambat panas apabila menunjukkan persembahan yang kurang memberangsangkan.

''Namun sejak akhir-akhir ini, Pahang mula menunjukkan peningkatan tetapi itu semua sudah terlambat," katanya.

Pahang yang kini menduduki tempat kelapan dalam Liga Super masih mempunyai peluang untuk meraih dua lagi kejuaraan iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4z9hZdL82
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan