Jumaat, 28 Julai 2017

Tok Gajah mahu tiga mata

 
PEMAIN Pahang jalani latihan sebelum bertemu Pulau Pinang.
Kuantan: Pahang masih terkejut dengan khabar penggantungan jurulatih Dollah Salleh, tetap dengan misi meraih tiga mata apabila bertemu Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam ini.

Biarpun akur Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan tidak lagi membimbing Tok Gajah sejak Sabtu lalu, pemain Pahang berazam mengekalkan aksi konsisten seperti dipamerkan ketika membenam Melaka United 2-0.

Kemenangan ke atas Melaka memberikan suntikan moral selepas Pahang gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan Piala Malaysia.

Penjaga gol Pahang Wan Azraie Wan Teh berkata, ketiadaan Dollah sememangnya dirasai semua pemain tetapi mereka perlu meneruskan usaha menambah pungutan mata.

Katanya, Pulau Pinang yang memerlukan kemenangan sudah pasti mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan ia menuntut pemain Pahang supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan.

“Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Pulau Pinang kerana mereka mahu menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

“Oleh itu, kami perlu menajamkan jentera serangan dan memastikan bahagian tengah serta pertahanan kekal bertahan untuk menyekat tuan rumah daripada membolosi gawang,” katanya.

Berbaki lima perlawanan, Pahang menduduki tangga ketiga dengan 30 mata.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 8:55 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan