Sabtu, 8 Julai 2017

Pahang gagal meledak di Ipoh



Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my
 
PKNP FC mengikat skuad tangga kedua Liga Super, Pahang selepas seri 1-1 pada perlawanan kedua kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Aksi babak pertama dikuasai PKNP FC apabila banyak melakukan serangan daripada bahagian kanan menerusi ketua pasukannya, Muhammad Shahrel Fikri.

Namun deretan peluang dimiliki gagal dimanfaatkan dua penyerang import mereka iaitu Gilberto Valdenesio dan Hyeon Woo Kim.

Pahang yang sekali sekala melakukan serangan menerusi Matheus Alves Leandro dan Sumareh Mahamadou dilihat buntu untuk memecahkan benteng pertahanan pasukan PKNP FC.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Berselang babak kedua, pasukan Tok Gajah yang dibimbing Dollah Salleh pantas melakukan asakan ke kubu tuan rumah untuk mencari gol pendahuluan.

Hasilnya pada minit ke-51, Matheus Alves berjaya memecahkan kebuntuan dengan melakukan rembatan deras di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran dari rakan sepasukan untuk mendahului pasukan tuan rumah dengan kedudukan 0-1.

Tersentak dengan gol itu, tuan rumah yang dibimbing Abu Bakar Fadzim kemudiannya menggandakan asakan ke kubu pelawat.

Hasilnya, pemain tengah PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan menjadi wira pasukan apabila berjaya melakukan rembatan deras sebelum bola ditampan pertahanan pelawat Mohd Afif Amiruddin ke dalam gol untuk gol penyamaan pada minit ke-80.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menjadikan PKNP FC mendahului kumpulan A dengan empat mata.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 11:16 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan