Jumaat, 28 Julai 2017

PBNP ada hak tamatkan kontrak Dollah

PBNP ada hak tamatkan kontrak Dollah
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) boleh menamatkan kontrak Dollah Salleh jika mereka mahu.

Ia berikutan penggantungan selama sembilan bulan tidak boleh terbabit dalam aktiviti bola sepak yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Dollah, sejak Jumaat lalu.

Ejen pemain berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan, jika menurut kontrak biasa, jurulatih yang digantung boleh ditamatkan perkhidmatan mereka oleh pasukan.


Ejen pemain berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah. - Foto NSTP/Osman Adnan
Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung kepada budi bicara pasukan dan PBNP perlu mendapatkan penjelasan daripada Dollah menerusi surat tunjuk sebab terlebih dulu.

"Kebiasaannya ia (menamatkan perkhidmatan jurulatih) sudah terkandung dalam kandungan kontrak jurulatih dengan pasukan.

"Apapun, ia tetap tertakluk kepada budi bicara pasukan sama ada mahu terus mengekalkan atau menamatkan kontrak jurulatih itu," katanya kepada BH Sukan.

Dollah digantung selama 18 bulan dan denda RM30,000 dengan penggantungan sembilan bulan pertama (dari 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018) dan baki 9 bulan kedua (21 April 2018 hingga 20 Januari 2019) ditangguh terlebih dahulu, tertakluk kepada kepada kelakuan baik beliau.

Selain itu, Effendi turut tidak menolak kemungkinan PBNP akan mengekalkan Dollah kerana sumbangannya yang besar kepada bola sepak Pahang.

"Saya fikir hukuman Dollah akan dikurangkan selepas dia mengemukakan rayuan dan PBNP juga mungkin akan mengekalkan khidmatnya bersama pasukan," katanya.
Sumber- BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 27 Julai 2017 | 10:01pm



Tiada ulasan:

Catat Ulasan