Sabtu, 14 Jun 2014

Pahang menang, Kelantan makin tercicir

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF DAN
ISWAN SHAFIZ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
 
Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme (kanan) dihalang oleh pemain Kelantan pada perlawanan Liga Super di Kuantan malam tadi. Pahang menang 1-0. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Jaringan tunggal Matias Ruben Conti membawa Pahang melonjak ke tangga ketiga Liga Super 2014 setelah menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Penyerang dari Argentina itu menolak mudah hasil tandukan dekat R. Gopinathan di sebelah kirinya untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-64.

Kelantan terlebih dahulu cuba merobek gawang Pahang pada minit kesembilan apabila penyerangnya, Ahmad Fakri Saarani melakukan rembatan kencang di luar kotak penalti namun sempat ditangkap kemas Md. Khairul Azhan Khalid.

Pemain tengah Pahang, Mohd. Hafiz Kamal terlepas peluang membuka jaringan pertama dengan melakukan percubaan sepakan di luar kotak penalti tetapi dengan mudah diselamatkan Khairul Fahmi.

Juara Piala FA 2014 itu juga terus hampa pada minit-44 apabila tendangan Dickson Nwakaeme terkena palang gol malah percubaan kedua Azammuddin Mohd. Akil pula ditepis keluar.

Dua lagi percubaan tuan rumah menerusi sepakan bebas Mohd. Hafiz dan rembatan kencang Gopinathan minit ke-57 dan 71 turut sekadar ditampan lawan.

Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team menarik nafas lega seketika untuk cuba keluar dari zon penyingkiran musim depan dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot, PKNS.

Kelab Terengganu itu mengumpul 22 mata untuk meninggalkan tangga kedua tercorot hasil sepakan gunting pemain import kelahiran Indonesia, Patrich Steve Wanggai pada minit ke-45 dan Mohd. Nizab Ayub, lima minit sebelum tamat.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, LionsXII pula diikat tanpa jaringan oleh Sarawak sekali gus meletakkan pelawat ke tempat kelima (29 mata).

Skuad Bujang Senang yang dibimbing Robert Alberts kini memintas Kelantan manakala tuan rumah kekal di tangga kelapan (25).

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby turut memintas Kelantan sambil mengekori Sarawak di tangga keenam selepas membenam Perak 4-0.


RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140615/su_01/Pahang-menang-Kelantan-makin-tercicir#ixzz34ezySrUi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan