Rabu, 4 Jun 2014

Felda United FC jual tiket mulai esok

2 Jun 2014
WAKIL kelab Felda United FC akan menjual tiket final Piala FA kepada penyokong mereka di Menara Felda, Jalan Tun Razak di sini bermula lewat petang esok.

Pengurus pasukan Datuk Jamaludin Ahmad berkata baki tiket perlawanan yang tidak terjual akan diagih kepada pengurus wilayah Felda di seluruh negara untuk dijual kepada penyokong pasukan itu.

Felda akan menentang Pahang pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Kita berharap penyokong kita turun beramai-ramai ke Shah Alam Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pasukan Felda United FC yang layak beraksi buat julung kali pada final Piala FA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Datuk Akbar V.V. Abu berkata pihaknya akan menjual tiket perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Mini Temerloh mulai Rabu ini.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan esok untuk memastikan kaedah agihan tiket untuk penyokong skuad 'Tok Gajah'.

"Menerusi mesyuarat ini, kita akan menentukan jumlah tiket yang akan diperuntukkan bagi setiap kaunter di dua stadium itu selain jumlah tiket yang bakal diagihkan kepada setiap persatuan bola sepak di setiap daerah seluruh Pahang," katanya.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2014 yang diadakan hari ini, FAM memperuntukkan 30,000 tiket untuk setiap pasukan dengan baki 10,000 lagi dijual menerusi dalam talian di www.tickethotline.com.my.

Harga tiket bagi dewasa ditetapkan pada RM40 manakala kanak-kanak RM5. 


Pahang mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 2-1 ke atas finalis musim lepas, Johor Darul Ta'zim, sementara Felda United FC ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan, setelah terikat agregat 5-5 dengan Kelantan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan