Isnin, 9 Jun 2014

Liga Super jadi buruan terbaru Pahang

 Oleh ZAZALI JAMIAN dan FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my
SHAH ALAM - Penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme menegaskan, misi pasukannya musim ini belum berakhir biarpun berjaya menjulang Piala FA kelmarin kerana mereka kini memburu kejuaraan Liga Super.

"Kemenangan malam ini bukan penamat kepada musim kami. Selepas ini, fokus pasukan adalah kepada Liga Super.

"Kami tidak mahu selesa dengan kejayaan yang dikecapi, sebaliknya akan memastikan setiap kemenangan menjadi milik kami," kata penjaring gol kemenangan Tok Gajah itu ketika mengalahkan Felda United 2-1.

Penyerang yang berasal dari Nigeria itu meledak gol kemenangan hanya dua minit sebelum wisel penamat ditiupkan di Stadium Shah Alam, sekali gus mengecewakan Felda yang terlebih dulu membuka jaringan menerusi Edward Junior Wilson pada minit ke-23.

Terdahulu, Tok Gajah memperoleh jaringan penyuntik semangat pada minit ke-80 selepas Mohd. Faizol Hussain berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

"Saya hanya berserah kepada nasib dan Alhamdulillah sepakan saya tepat," kata Faizol ketika menceritakan detik bagaimana dia cukup berkeyakinan untuk melepaskan satu rembatan padu yang berjaya menghidupkan semangat rakan-rakan sepasukan.

Gol pemain berusia 27 tahun itu cukup menakjubkan kerana ia hadir menerusi sepakan padu kaki kiri dari luar kotak penalti yang mengelirukan penjaga gol Felda United, Farizal Harun.

Faizol mengakui, gol penyamaan tersebut menaikan semangat rakan-rakan sepasukan untuk beraksi dengan lebih baik biarpun permainan berada dalam situasi genting.

"Sebagai pemain memang diakui gol awal Felda membuatkan kami lebih tertekan dan saya berusaha untuk memberikan yang terbaik, termasuk memanfaatkan segala peluang mendapatkan jaringan," katanya.

Faizol turut berharap gelaran Piala FA yang diraih dapat meningkatkan motivasi pasukan untuk mempamer persembahan lebih baik pada Liga Super.

"Kami akan memulakan aksi Liga Super pada Selasa ini dan kemanisan kemenangan akan terus dirasai semua pemain.

"Namun, tumpuan pasukan selepas ini adalah untuk cemerlang pada saingan Liga Super dan kami perlu memberi tumpuan penuh," katanya.
RUJUKAN-



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140609/su_02/Liga-Super-jadi-buruan-terbaru-Pahang#ixzz349W9A8GS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan