Jumaat, 6 Jun 2014

Misi berbeza 2 kapten

Oleh Sufian Abdul Hadi sukan@utusan.com.my
 
MOHD. Shukor Adan (kanan) turun dengan misi menghadiahkan kejuaraan sulung buat Felda, manakala Mohd. Razman Roslan mahu mengembalikan Piala FA kepada Pahang selepas 8 tahun.
SHAH ALAM - Mohd. Shukor Adan turun bersama misi untuk membantu Felda United melakar sejarah merangkul kejuaraan Piala FA buat kali pertama, manakala Mohd. Razman Roslan mahu mengembalikan trofi itu kepada Pahang selepas kali terakhir mereka memenanginya pada 2006.

Biarpun Felda dilabel sebagai pasukan underdog, Shukor percaya, status tersebut membuatkan dia lebih bersemangat untuk membuktikan skuad The Fighters mampu melakar kejutan.

Pemain tengah yang berasal dari Melaka itu mengakui, semangat pasukannya kini membara setelah dianggap pasukan bukan pilihan dalam perlawanan di Shah Alam, malam ini.

"Bagi saya, dilabel sedemikian tidak memberi masalah untuk jadi juara. Sebelum ini pun mereka tak jangka kami layak sehingga ke tahap ini.

"Ini membuktikan meskipun berstatus kelab, kami dapat menjalankan tugas yang terbaik untuk The Fighters. Memang ramai yang ramal Pahang akan menang, tapi itu tidak mematahkan semangat kami," kata kapten The Fighters itu pada sidang akhbar menjelang final Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam.

Sementara itu kapten Pahang, Razman mahu rakan-rakan sepasukan beraksi pada tahap terbaik bagi memastikan Tok Gajah dapat menjuarai Piala FA selepas kali terakhir memiliki trofi tersebut, lapan tahun lalu.

Pemain pertahanan itu berkata, jenteranya sudah bersedia sepenuhnya dan menasihatkan mereka supaya tidak memandang rendah kepada The Fighters.

"Memang kami tidak sabar untuk beraksi di final dan pemain telah bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi.

"Kita perlu fokus setiap minit. Masing-masing perlu bertanggungjawab dalam menjalankan tugas," kata pemain berusia 29 tahun itu.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140607/su_01/Misi-berbeza-2-kapten#ixzz33ufLjPkm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan