Sabtu, 10 Oktober 2020

Pahang hilang 4 tonggak jumpa TFC

Oleh Asrol Awang - Oktober 9, 2020 @ 10:40pm

sukanteam@nstp.com.my



Aksi pemain Pahang, Dickson Nwakaeme (jersi hitam) ketika bertemu Melaka United sebelum ini. - Foto NSTP/Muhamad Zuhairi Zuber

KUANTAN: Pasukan Pahang akan turun bertemu Terengganu FC (TFC) di laman lawannya itu pada aksi terakhir Liga Super, Ahad ini, tanpa empat tonggak akibat masalah kecederaan dan penggantungan.

Dickson Nwakaeme, Herold Goulon dan R Dinesh tersisih akibat masalah kecederaan manakala Ivan Carlos digantung perlawanan.

Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, ketiadaan empat pemain itu memaksanya melakukan perubahan percaturan pada perlawanan terakhir saingan Liga Super itu.

"Saya akui ketiadaan mereka amat dirasai pasukan ketika kita mahu menyenaraikan kesebelasan utama sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia.

"Seperti Goulon, dia mengalami kecederaan pada sesi latihan semalam dan dijangka tidak sempat pulih manakala Nwakaeme dan Dinesh mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Perak.

"Tapi, saya percaya barisan pemain lain dapat menggantikan kekosongan itu terutama bagi melakar kemenangan ke atas TFC," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Sehubungan itu, Dollah mengharapkan barisan pemain muda yang semakin menunjukkan peningkatan daripada segi prestasi dan keyakinan dapat bermain dengan lebih baik.SUMBER-BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan