Jumaat, 30 Oktober 2020

Dollah lega pemain utama kembali berlatih

MyMetroTopic



Asrol Awang

am@hmetro.com.my

Kuantan: Pengendali Pahang, Dollah Salleh lega selepas lima daripada enam pemain yang berdepan masalah kecederaan sudah kembali menjalani latihan bersama skuad itu.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kehadiran lima pemain itu, termasuk tiga import begitu bermakna ketika skuad Tok Gajah dalam persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia.

"Saya lega apabila lima daripada enam pemain yang sebelum ini dihimpit masalah kecederaan sudah kembali berlatih dalam memperkemaskan jentera pasukan.

"Walaupun Dickson Nwakaeme belum benar-benar pulih tetapi ia cukup memberi harapan bahawa dia akan berada dalam kesebelasan utama.

"Diharapkan tempoh seminggu ini Nwakaeme dapat mencapai tahap kecergasan dan pulih 100 peratus untuk menajamkan jentera serangan," katanya.

Selain Nwakaeme, empat pemain yang sudah pulih daripada kecederaan ialah Herold Goulon, Adam Reed, R Dinesh dan Faisal Abdul Halim.

Pemain muda Tok Gajah, Zuhair Aizat Nazri pula masih lagi menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika berdepan Terengganu FC (TFC) Pada perlawanan terakhir saingan Liga Super lalu.

Ditanya persiapan skuad Pahang menjelang kempen Piala Malaysia, Dollah berkata, segalanya mengikut perancangan untuk mempamer prestasi lebih mantap.

"Saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain sepanjang sesi latihan dan diharapkan mereka dapat beraksi pada tahap terbaik sebaik Piala Malaysia bermula nanti," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 5:50 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan