Rabu, 30 April 2014

Suren cari penawar duka

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2014
 Suren cari penawar duka
Suren cari penawar duka Surendran (kiri) rebah selepas diasak pemain JDT, Nurul Azwan Roya pada pertemuan separuh akhir Piala FA di Bukit Jalil, musim lalu.

PEMAIN tengah Pahang, R Surendran tekad melupakan kekecewaan apabila Tok Gajah tersingkir di peringkat separuh akhir Piala FA di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT), musim lalu.

Surendran berkata, kegagalan mara ke perlawanan akhir masih dirasai bagaimanapun beliau mahu melupakan episod duka itu dan berazam menebus kehampaan itu  menjelang aksi menentang JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Isnin ini.

Menurut Surendran, pertembungan separuh akhir kali ini lebih mirip kepada misi membalas dendam.

"Saya mahu padam memori musim lepas. Kali ini, saingan pasti berbeza dan saya berkeyakinan tinggi Pahang mampu meraih sesuatu.

"Dengan kombinasi dan pengalaman yang ada pada pasukan, saya yakin kami boleh cari bekalan selesa," katanya.

Pada masa sama, pemain kelahiran Triang, Bera, itu mahu memastikan beliau tidak dilanda badai kecederaan lagi.

Pada awal saingan Liga Malaysia (Liga-M), Surendran terpaksa diketepikan daripada kem Pahang selepas mengalami kecederaan di lutut kanan pada perlawanan persahabatan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya tengah berusaha memperbaiki kelemahan dan memantapkan lagi permainan selepas berehat kerana cedera.

"Paling penting sekarang, saya perlu bekerja keras supaya disenaraikan dalam kesebelasan utama nanti," katanya.

Dalam aksi Liga Super menentang Sime Darby FC, 19 April lalu, pemain berusia 26 tahun itu meledak gol sulung perlawanan.

Kelibatnya yang banyak membantu pasukan mendapat pujian pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan.

RUJUKAN-SINAR HARIAN 1.5.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan