Sabtu, 19 April 2014

Pahang kukuh cengkaman

KUALA LUMPUR - Pahang terus mengukuhkan cengkaman selaku peneraju Liga Super selepas mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Sime Darby dalam saingan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur semalam.

Skuad Tok Gajah berada di hadapan seawal minit ke-18 menerusi jaringan R. Surendran sebelum Matias Conti menjaringkan dua gol pada minit ke-35 dan minit ke-45. Dickson Nwakaeme turut mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-65 manakala Sime Darby memperoleh jaringan saguhati pada minit ke-71 menerusi Dilshod Sharofetdinov.

Sementara itu, Selangor terus memberikan tekanan kepada pendahulu liga apabila turut meraih tiga mata penuh di Stadium Shah Alam dengan menundukkan Lions XII 1-0 menerusi jaringan pemain import Steve Pentilidis pada minit ke-24.

Kejayaan itu sekaligus membolehkan Selangor menghuni anak tangga kedua liga dengan 27 mata kurang satu mata di belakang Pahang dengan kelebihan satu perlawanan di dalam tangan.

ATM turut melakarkan kemenangan besar 4-1 ke atas PKNS yang beraksi dengan sepuluh pemain dalam aksi di Stadium Selayang.

Patrick Wleh meletakkan PKNS di hadapan pada minit ke-25 namun tiga minit kemudian Zamir Selamat diarah keluar padang selepas dilayangkan kad merah dan seminit kemudian ATM menyamakan kedudukan menerusi sepakan pe­nalti Bruno Martelotto.

Tiga lagi gol ATM diperoleh menerusi R. Thinagaran (minit ke-60), Yusaini Hafiz Chee Saad (minit ke-77) dan Affize Faisal Mamat (minit ke-90).
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140420/su_04/Pahang-kukuh-cengkaman#ixzz2zNWx8FDr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan