Selasa, 1 April 2014

Pahang kena beringat walau kini di atas

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my
 
Penjaga gol Perak, Razi Effendi Suhit menepis tandukan pemain Pahang, Matias Ruben Conti dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin. Pahang menang 2-0 - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Pemain Pahang diingatkan supaya tidak leka dibuai mimpi setelah mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Perak kelmarin, yang membolehkan pasukan itu melonjak ke anak tangga pertama Liga Super buat kali pertama musim ini.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, para pemain perlu mengekalkan momentum permainan yang cemerlang dan meneruskan perjuangan, sekali gus kekal pada kedudukan sedia ada apabila memasuki pusingan kedua nanti.

Katanya, beliau tidak mahu anak buahnya itu terus dibuai mimpi berikutan kejayaan tersebut kerana masih banyak lagi perlawanan yang perlu dihadapi.

"Saya mengingatkan pemain-pemain saya agar tidak mudah leka dan sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan yang bakal dihadapi nanti.

"Mereka perlu mengekalkan rentak kemenangan ini sekiranya mahu bergelar juara liga pada penghujung musim ini. Pemain-pemain harus ingat yang mereka masih ada lagi tanggungjawab dan cabaran lebih besar selepas ini," katanya di sini semalam.

Dalam perlawanan kelmarin, Pahang berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Terengganu selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Darul Makmur manakala Terengganu hanya seri 1-1 dengan Kelantan.

Pahang memperolehi gol menerusi penyerang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme dan pemain sayap lincah, R. Gopinathan dalam separuh masa permainan.

Pahang kini mengumpul 19 mata selepas 10 perlawanan dengan merekodkan enam kemenangan dan satu seri.

Selepas mengambil alih tugas daripada Ronald Smith, Zainal mampu tersenyum kerana pasukannya mencatat rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan dengan tiga kemenangan.

Menurut Zainal, untuk kekal di persada liga, para pemain perlu membaiki banyak kelemahan yang ada.

"Namun saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain dalam perlawanan menentang Perak kelmarin.

"Saya harapkan pada perlawanan selepas ini, semua pemain pemain kekalkan prestasi yang terbaik agar kita dapat kekal di takhta liga," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140331/su_06/Pahang-kena-beringat-walau-kini-di-atas#ixzz2xcxzWSvP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan