Jumaat, 7 Mei 2021

UiTM mangsa amuk Sri Pahang

Asrol Awang

am@hmetro.com.my



Pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck (tengah) meraikan golnya ketika menentang UiTM FC, pada aksi Liga Super. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kuantan: Sri Pahang FC menamatkan kemarau kemenangan apabila membelasah UiTM FC 5-0 pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan itu amat bermakna buat ketua jurulatih, Dollah Salleh kerana kali terakhir pasukan itu melakar kemenangan ketika menewaskan Sabah FC pada 16 Mac lalu.

Pada perlawanan itu tuan rumah bermula garang apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan seawal minit pertama hasil jaringan pemain import, Lee Tuck.

Minit ke-34, penyerang import Pedro Henrique menjaringkan gol kedua buat tuan rumah selepas menewaskan penjaga gol UiTM, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

Namun penyerang UiTM, Mohd Khairul Izuan hampir merapatkan jurang gol tetapi bola sepakan percuma berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Helmi Heliza Elias pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, UiTM yang ketinggalan berusaha untuk merapatkan jurang gol dengan sesekali melancarkan serangan.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-61 apabila dihadiahkan sepakan penalti tetapi pertahanan import, Victor Clotaire gagal menjaringkan gol selepas diselamatkan Helmi Eliza.

Selepas itu, Muhamad Baqiuddin Shamsudin dan Herold Goulon, masing-masing menjaringkan gol ketiga dan keempat pada minit ke-66 dan 70.

Dua minit kemudian, pemain tengah UiTM, Muhammad Fahmi Mohd Rizam menghadiahkan gol kelima buat Sri Pahang.

Dengan kemenangan itu, misi Sri Pahang mengutip tiga mata menjadi kenyataan.

Disiarkan pada: Mei 2, 2021 @ 12:00am.1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan