Selasa, 29 Disember 2020

Malik tekad bantu Pahang raih kejayaan

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana 2016 dan 2017, Abdul Malik Mat Ariff mahu membuktikan bahawa kembalinya ke pangkuan Pahang memberi impak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Abdul Malik berkata, pengalaman yang dimiliki memberi motivasi dan keyakinan untuk meletakkan skuad Pahang pada kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim 2021.

"Saya berterima kasih kepada pengurusan pasukan yang menyenaraikan saya dalam skuad Pahang selepas kali terakhir bersama Pahang pada 2014.

"Peluang yang diberikan diharap dapat dipersembahkan dengan mempamerkan prestasi terbaik seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Dengan sokongan rakan sepasukan, saya percaya prestasi Pahang lebih baik untuk mencapai kejayaan yang lebih bermakna musim 2021," katanya.

Abdul Malik antara empat pemain kelahiran Pahang yang sebelum ini berkelana bersama pasukan luar disenaraikan dalam usaha memperkasakan skuad Tok Gajah sekali gus tampil lebih gagah.

Tiga anak jati Pahang yang turut disenaraikan ialah Shahrul Aizad Zulkifli (Terengganu FC (TFC),Felda United FC), Baqiuddin Shamsudin (UKM FC) dan Muhammad Jadid Ilias (Felda United).

Abdul Malik yang juga bekas pemain TFC dan Kuantan FA mengharapkan pencapaian gemilang akan berpihak kepada Pahang musim depan.

"Saya pernah meraih kejayaan bersama Pahang pada 2013 dan 2014 apabila Pahang menjulang Piala Malaysia walaupun bukan sebagai pemain utama.

"Oleh itu, saya harap musim 2021 saya akan berada dalam kesebvelasan utama dan membantu Pahang mengulangi pencapaian itu," katanya yang pernah menyarung jersi Pahang pada 2010 hingga 2014.

Sebagai penjaring terbanyak tempatan saingan Liga Perdana pada 2016 dan 2017, Abdul Malik mengharapkan pencapaian itu dapat diulangi dalam saingan Liga Super.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 3:33 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan