Selasa, 8 Disember 2020

Lima pemain tidak bersama Tok Gajah

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Pahang mengesahkan lima pemain musim ini tidak lagi bersama skuad Tok Gajah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selepas Faisal Abdul Halim dan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim yang diumumkan tidak lagi bersama skuad itu, ia disusuli tiga pemain lain iaitu penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra dan R Dinesh.

Pengurus Tok Gajah Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kontrak lima pemain itu tidak dilanjutkan dan kini memberi fokus menyenaraikan pemain baharu.

"Ketika ini, skuad Pahang sedang mendapatkan pemain baharu terutama memperkuatkan jentera tengah, pertahanan dan penjaga gol.

"Setakat ini usaha ke arah itu sedang dilakukan dan mengharapkan yang terbaik untuk meletakkan Pahang pada prestasi terbaik bagi saingan Liga M musim 2021," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammed Suffian mengesahkan 12 pemain yang pernah beraksi dalam skuad Piala Presiden Pahang dan bekas pemain Shahzan Muda sudah dipilih untuk menyertai sesi latihan bersama skuad Pahang.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu, hanya lima pemain akan disenaraikan untuk memenuhi misi menyenaraikan anak jati Pahang.

"Sesi pemilihan yang dilakukan secara tertutup itu akan diadakan pada pertengahan bulan ini dan diharapkan mereka yang terpilih dapat membantu pasukan terutama pemain di posisi tengah dan pertahanan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 1:31 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan