Rabu, 30 Januari 2019

Tok Gajah buntu serangan tumpul

ARKIB : 14/04/2011
 
Pemain Pahang, Azamuddin Mohd. Akil (depan) diasak pemain Johor FC, Mohd. Hamzani Omar dalam aksi Liga Super di Kuantan, kelmarin. Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

KUANTAN - Skuad Pahang masih mencari pemain yang mampu merobek gawang lawan ekoran seri tanpa jaringan menentang Johor FC, kelmarin.

Walaupun menguasai perlawanan, beraksi di gelanggang sendiri bukan jaminan mendapat tiga mata malah, Pahang buntu mendapatkan gol.

Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh sukar menerima kenyataan bahawa prestasi pemain terutama rangkaian serangan masih belum berupaya menunjukkan prestasi sebenar.

"Saya melihat prestasi Pahang agak merosot dan kecewa apabila pemain beraksi di bawah tahap sebenar terutama bahagian hadapan yang masih gagal mendapatkan gol dalam dua pertemuan terakhir Pahang," katanya di sini, semalam.

Walaupun mengakui ketiadaan penyerang, R. Surendran dan Mohd. Faizol Hussin yang cedera merencat perancangan Dollah Salleh tetapi pengurus skuad Tok Gajah itu tidak mahu ia dijadikan alasan untuk menidakkan gol.

Sementara itu, Dollah mengakui anak-anak buahnya masih ketandusan jaringan kerana tidak mempunyai penyerang yang berupaya menjaringkan gol lawan.

"Ketika menentang Johor FC, skuad Pahang tidak mempunyai masalah di posisi lain kecuali jentera serangan walaupun saya sudah mencuba beberapa gandingan tetapi belum menunjukkan hasil,'' jelasnya.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz5e4jt5fnf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan