Khamis, 31 Januari 2019

ARKIB : 12/05/2011 Pahang perlu menang besar di laman sendiri


ARKIB : 12/05/2011
 
AKsi penyerang Pahang, Azamuddin Mohd. Akil (kanan) ketika menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 19 April lalu.

KUANTAN - Pahang tiada pilihan selain daripada mencatat kemenangan besar apabila bertemu Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, di sini esok.

Hanya bekalan gol selesa akan memberi kelebihan kepada skuad Tok Gajah untuk mara ke final apabila mengharungi perlawanan kedua di padang lawan pada 16 Mei ini.

Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Dr. Omar Othman berkata, pemain tidak seharusnya mempersia-siakan peluang bermain di halaman sendiri dengan menghasilkan sebanyak mungkin gol.

"Dalam perlawanan di tempat sendiri, kita harus menang besar, hanya itu pilihan yang kita ada," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Untuk pertembungan esok, Omar memberitahu, tiket perlawanan akan dijual mulai pukul 4 petang hari ini.

Menurut beliau, para penyokong boleh mendapatkan tiket tempat duduk berbumbung pada harga RM25 bagi dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak di kaunter penjualan tiket stadium.

Harga tiket tempat duduk terbuka bagi dewasa pula ialah RM12 manakala RM6 untuk kanak-kanak.

"Pada hari perlawanan, penyokong Terengganu boleh mendapatkan tiket di Kaunter 8A dan 8B manakala penyokong Pahang di kaunter 10A dan 10B bermula pukul 10 pagi.

"Penyokong kedua-dua pasukan akan diasingkan tempat duduk dan ia bermula daripada pintu masuk iaitu Pintu 7 bagi penyokong Terengganu dan Pintu 11 bagi penyokong Pahang," ujarnya.

Omar menambah, para penyokong kedua-dua pasukan akan diasing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Perlawanan hari ini memutuskan untuk mengambil langkah keselamatan dengan mengasingkan penyokong bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.

"Seramai 85 anggota polis dan 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan mengawal keselamatan pada hari perlawanan untuk memastikan ia berjalan lancar," katanya yang menjangkakan lebih 5,000 penyokong kedua-dua pasukan akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

"Penyokong Pahang digalakkan memakai baju atau jersi kuning," katanya



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eCN4doaB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan