Selasa, 17 Mac 2015

Pahang tak gentar

 Oleh Asrol Awang sukan@hmetro.com.my

 
Kuantan: Pemain tengah Pahang Nor Azam Abdul Azih menaruh keyakinan skuad itu mampu menumbangkan South China FC dari Hong Kong apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Kumpulan G Piala AFC di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Pemain berusia 20 tahun itu berkata, biarpun dia bersama rakan sepasukan masih kepenatan, peluang beraksi di gelanggang sendiri diharap menghasilkan keputusan yang berpihak kepada Pahang.
“Saya percaya rakan sepasukan dapat bermain dengan lebih baik kerana kami tidak mahu terlepas tiga mata berharga selepas seri tanpa jaringan dengan Global FC dari Filipina pada 11 Mac lalu.
“Tiada yang perlu difikirkan selain kemenangan biarpun South China FC kini mengungguli Kumpulan G,” katanya semalam.
Difahamkan, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan tidak dapat menurunkan kesebelasan utama kerana ada pemain masih belum sempat pulih daripada kecederaan dan digantung perlawanan.
Antara pemain yang masih dibelenggu kecederaan ialah penyerang import dari Argentina Matias Conti (gambar) dan Mohd Fauzi Rozlan manakala kapten pasukan Mohd Razman Roslan pula masih digantung perlawanan selain Mohd Hafiz Kamal yang bercuti kerana melangsungkan perkahwinan.
Bagaimanapun, kemenangan besar South China FC 6-1 ke atas Global FC dan 3-1 dengan kelab Myanmar, Yadanarbon FC memerlukan Zainal Abidin menurunkan barisan terbaik.
Namun, Nor Azam yang juga bekas pemain Harimau Muda B itu mahu rakan sepasukan tidak berasa tergugat kerana pertemuan itu menjanjikan peluang terbaik Pahang untuk bangkit mencipta kemenangan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:27 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/37540#sthash.2OWBJNas.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan