Jumaat, 7 Mac 2014

Zainal ganti Smith bimbing Tok Gajah

Oleh HERMAN HAMID
sukan@utusan.com.my
KUANTAN - Zainal Abidin Hassan yang mengambil alih tugas pengendali skuad Tok Gajah daripada Ronald Smith akan memikul tanggungjawab tersebut sehingga kedudukan berhubung ketua jurulatih diputuskan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Setiausaha Agung PBNP, Fuzzemi Ibrahim berkata, sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bola sepak, Zainal Abidin mempunyai kriteria yang cukup bagi meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan Smith.

"Pada masa ini, apa yang saya boleh maklumkan tugas Smith diambil alih oleh Zainal Abidin. Selanjutnya, kita tunggu pengumuman Presiden PBNP,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya mengenai kontrak Smith bersama PBNP, Fuzzemi berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan secara profesional me­ngenai perkara itu yang menyaksikan kelmarin sebagai hari terakhir Smith bersama pasukan.

"PBNP merakamkan penghargaan di atas sumbangan beliau sepanjang bersama skuad Tok Gajah. Smith seorang yang profesional dalam tugasnya dan kami mengucapkan selamat maju jaya,’’ jelasnya.

Smith dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada wartawan memaklumkan penamatan kontraknya adalah atas persetujuan bersama setelah mempunyai perbezaan pendapat dengan pihak pengurusan berhubung pasukan.

"Perlu ada seorang individu sebagai pengendali. Maka jalan terbaik, saya tinggalkan pasukan.

"Tiada rasa kesal tetapi sedikit terkilan kerana saya meninggalkan pasukan dengan rekod yang agak baik dan saya juga seronok sepanjang bersama Pahang.

"Tetapi kerana kami tidak boleh bersetuju dalam beberapa hal berkaitan bola sepak, lebih baik saya berundur,’’ ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140307/su_03/Zainal-ganti-Smith-bimbing-Tok-Gajah#ixzz2vK54gXb2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan