Jumaat, 28 Mac 2014

Aksi mantap Hafiz terus ditagih Tok Gajah

 
Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan (kiri) berbincang sesuatu dengan pemain import, Damion Steward selepas menjani latihan di Padang Taman Gelora, Kuantan, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali
KUANTAN - Aksi mantap pemain tengah Pahang, Mohd. Hafiz Kamal terus ditagih bagi memastikan skuad Tok Gajah meneruskan momentum kemenangan buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, permainan mantap yang ditunjukkan oleh Hafiz melalui hantaran tepat menjadi kunci bagi membolehkan penyerang skuad itu menjaringkan gol.

"Dalam pada itu, penjaring gol terbanyak Tok Gajah, Dickson Nwakaeme akan diturunkan bersama gandingan mantap, Matias Conti untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

"Semua pemain kini juga berada pada tahap kecergasan terbaik dan bersedia untuk diturunkan, jadi saya banyak pilihan untuk kesebelasan utama yang akan menentang Perak esok (malam ini)," katanya.

Sejak Zainal Abidin mengambil alih pasukan daripada Ronald Smith, Pahang telah mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan berturut-turut ke atas PKNS dan Sarawak setelah sebelumnya seri dengan Kelantan.

Pahang kini menghuni tempat kedua dengan 16 mata selepas sembilan perlawanan, berkongsi mata bersama pendahulu, Terengganu tetapi dibezakan oleh perbezaan gol.

Perak pula di kedudukan tercorot setelah hanya menang dua, seri dua dan kalah lima perlawanan.

Zainal Abidin berkata, beliau optimis rentak kemenangan mampu dicapai Pahang jika pemain meneruskan corak permainan dan taktikal yang diterapkan.

"Saya suka membakar semangat pemain untuk terus mendapatkan kemenangan dan kedudukan dalam liga boleh diperbaiki seterusnya menjadi pendahulu," katanya.
 RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140329/su_04/Aksi-mantap-Hafiz-terus-ditagih-Tok-Gajah#ixzz2xIsd7nP6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan