Khamis, 11 Mac 2021

Tok Gajah tumbang lagi



Oleh ASZAHARI ALI

10 Mac 2021, 11:23 pm

KUANTAN: Sri Pahang kecundang lagi, kali ini tewas di tangan Perak 2-0 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Perlawanan lebih banyak dikuasai tuan rumah tetapi nyata anak-anak buah Chong Yee Fat lebih bijak mencetak gol bagi membawa pulang tiga mata sambil menambah derita tuan rumah.

Pada pertemuan yang dijangka sengit antara Sri Pahang dan Perak seakan tidak menjadi kenyataan pada separuh masa pertama.

Pahang yang turun tanpa penyerang import, Yevhen Bokhasvili dan Mamadou Wague lebih banyak melakukan gerakan melalui Lee Tuck dan Pedro Henrique sambil sesekali Mohd. Azam Azih cuba memecah benteng skuad kendalian Chong Yee Fatt yang lebih banyak bertahan.

Bagaimanapun pada minit 43, Perak memecah kebuntuan selepas sepakan J.Partiban berjaya menewaskan Mohd. Helmi Eliza untuk gol pertama pasukan pelawat dan kedudukan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki minit pertama separuh masa kedua ,Pahang terus garang melancarkan serangan dan Mohd. Faizal Rosli berpeluang untuk menghasikan gol penyamaan tetapi sempat ditepis keluar penjaga gawang Perak, Mohd. Hafizul Hakim.

Perak yang sesekali melakukan serangan bagaimanapun berjaya menambah gol pada minit ke-59 melalui Mohd. Farhan Roslan selepas Mohd. Helmi keluar lebih awal dari gawang gol Pahang.

Kemasukan Bokhashvili tampak berhasil menggandakan serangan tuan rumah tetapi pertahanan Perak terus ampuh bertahan.

Nyata Pahang tidak bernasib baik apabila terlepas peluang untuk merapatkan jurang apabila sepakan Bokhashvili terkena tiang gol Perak pada minit ke-80.

Selepas itu Pahang terus melakukan beberapa percubaan untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata tetapi tidak berhasil hingga wisel penamat.UM ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan