Sabtu, 8 Februari 2020

Rundingan Nwakaeme di peringkat akhir


MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
‘ORANG Besi’ Pahang, Dickson Nwakaeme hampir pasti bersama skuad Tok Gajah untuk saingan liga musim 2020 berikutan perbincangan bersama pihak pengurusan dan pemain itu sudah berada di peringkat akhir.

Sumber daripada pengurusan Pahang berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan berkaitan pembayaran gaji kepada pemain berasal dari Nigeria itu.

Beliau berkata, Pahang yang mengamalkan perbelanjaan secara berhemah musim ini tidak mahu membayar terlampau mahal kepada pemain berkenaan sekali gus mendatangkan masalah pada masa akan datang.

“Pihak pengurusan sudah mengadakan perbincangan pada peringkat akhir dengan meminta pengurangan bayaran gaji pemain terbabit untuk musim ini.

“Jika segalanya berjalan lancar, Nwakaeme akan kembali menguatkan jentera serangan Pahang pada musim ini.

“Seperti sedia maklum, Nwakaeme adalah ikon kepada pemain dan penyokong Pahang seterusnya mampu membantu skuad Tok Gajah mencipta kejayaan pada musim ini,” katanya.

Musim lalu, Nwakaeme membuktikan dia penyerang berbisa selepas meledak 19 gol bersama Pahang, termasuk sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:01 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan