Ahad, 5 Januari 2020

Hafiz mahu tinggalkan Tok Gajah


Sukan
Sabtu, 12 Disember 2015 | 7:15am
 
Hafiz mahu tinggalkan Tok Gajah
Oleh Mohd Rafi Mamat
bhsukan@bh.com

PEMAIN tengah Pahang, Mohd Hafiz Kamal. - Foto Mohd Rafi Mamat
KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Mohd Hafiz Kamal, memutuskan untuk menyertai pasukan baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas empat musim mengemudi jentera tengah skuad Tok Gajah hingga berjaya merangkul pelbagai kejayaan bermakna.

"Saya terpaksa membuat keputusan meninggalkan Tok Gajah selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dilihat seperti tidak berminat menyambung kontrak saya yang berakhir bulan ini.

"PBNP sepatutnya sudah menawarkan kontrak baharu kepada pemain bagi memberi peluang kepada kami membuat pilihan hala tuju kami pada musim depan.

"Bagi memastikan peluang beraksi dalam Liga M musim depan tidak terjejas, lebih baik saya mencuba nasib dengan pasukan baharu," katanya yang sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan Shahzan Muda.

Mohd Hafiz berkata, beliau menerima tiga tawaran daripada pasukan negeri pada musim depan, namun belum membuat keputusan bagi mengelak sebarang masalah.

"Saya masih sayangkan Tok Gajah, yang begitu banyak mencetuskan kenangan manis dalam kerjaya bola sepak saya, namun disebabkan sikap membisu pegawai PBNP, saya terpaksa buat tindakan drastik," katanya.

Katanya, dengan berbaki beberapa minggu lagi sebelum kontrak tamat, PBNP masih lagi tidak memutuskan sama ada mahu melanjutkan kontrak atau menamatkannya.

"Bukan saya seorang sahaja memutuskan untuk meninggalkan Tok Gajah musim depan, beberapa pemain tempatan dan import juga mahu mencari pasukan baharu.

"Mungkin jodoh kami dengan Pahang sudah berakhir...saya berharap peminat setia Tok Gajah dapat menerima dengan hati yang terbuka dan tidak melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada kami," katanya.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/node/104310

Tiada ulasan:

Catat Ulasan