Sabtu, 21 April 2018

Pahang cari pengganti Forkey Doe

Shahrulanoor Ishak
19 April 2018 3:00 AM
FORKEY DOE (kiri) mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam
FORKEY DOE (kiri) mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam saingan Piala FA bulan lalu.

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menolak kemungkinan menggantikan Francis Forkey Doe dengan penyerang setara atau lebih baik menerusi jendela perpindahan yang akan dibuka pada Mei depan.

Ketika ini, Forkey Doe terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) ketika membantu Pahang menyingkirkan Kedah pada pu­singan ketiga Piala FA 2018 di Kuantan pada 17 Mac lalu.


“Saya pun ada rasa macam itu (mencari pengganti Forkey Doe). Tak dinafikan, ketiadaan Forkey Doe memang beri masalah kepada pasukan terutama semasa berada di depan pintu gol.

“Kalau perlu pengganti Forkey Doe, kita kena tunggu jendela perpindahan Mei nanti,” ujar Dollah mengulas perancangan pasukan itu selepas terikat tanpa jaringan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala FA baru-baru ini.

Ketiadaan Forkey Doe jelas memberi masalah kepada skuad Tok Gajah untuk melancarkan serangan secara berkesan, sekali gus merencatkan usaha Pahang untuk mencipta peluang.

Corak serangan tanpa hantaran tepat daripada pemain import Liberia itu juga memberi kesulitan kepada penyerang kelahiran Brazil, Patrick Cruz untuk melakukan jaringan.

“Selain Forkey Doe, beberapa pemain lain juga ada masalah kecergasan dan ini menyukarkan kita untuk menyusun kesebelasan terbaik,” ujar Dollah.

Ketika aksi terikat tanpa jaringan dengan JDT di Kuantan pada 4 April lalu, Cruz serta pemain tengah, Nor Azam Azih masing-masing menghadapi masalah kecergasan akibat kecederaan kaki yang dialami sebelum ini.

Ia sekali gus meletakkan kawasan tengah skuad Tok Gajah berada dalam situasi kucar-kacir serta tidak tersusun terutama ketika melancarkan serangan dan semasa menghadapi asakan JDT pada aksi tersebut.

“Saya harap, pemain-pemain kembali cergas sepenuhnya dan mendapat keyakinan yang lebih baik untuk bermain pada suku akhir kedua Piala FA di Johor Bahru (esok),” tambah bekas pengendali skuad kebangsaan itu.
SUMBER-KOSMO ONLINE 19 April 2018 3:00 AM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan