Sabtu, 6 Januari 2018

Selamat tinggal Tok Gajah

Sabtu, 6 Januari 2018 | 12:29pm
Pemain Pahang, Matheus Alves Leandro (tengah) mengesahkan tidak lagi bersama skuad Tok
 
Gajah musim ini. Alves bakal sertai kelab Korea Selatan. - Foto Zulkepli Osman
Selamat tinggal Tok Gajah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pemain kelahiran Brazil, Matheus Alves mengesahkan meninggalkan skuad Pahang, sekali gus menolak andaian khidmatnya dapat disaksikan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain berumur 24 tahun itu berkata, dia akan mewakili sebuah kelab Korea Selatan selepas hanya semusim bersama skuad Tok Gajah musim lalu.

Justeru, dia berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bolasepak negeri Pahang (PBNP) yang selama ini memberikan sokongan kepadanya.

"Selamat tinggal Pahang dan terima kasih kepada pasukan, rakan sepasukan, pengurus dan jurulatih dan peminat Pahang.

"Ia adalah musim luar biasa dalam hidup saya termasuk keluarga saya sangat gembira sepanjang berada di sini (Pahang).

"Oleh itu, saya harap suatu hari nanti dapat kembali ke Pahang kerana bangga menjadi sebahagian daripada sejarah skuad Tok Gajah.

"Pencapaian bersama Pahang musim ini memberi motivasi untuk mencapai keputusan terbaik bersama pasukan baharu," katanya menerusi Instagram.

Musim ini, Alves membuktikan sentuhan berbisa apabila muncul penjaring kedua terbanyak dengan menjaringkan 18 gol dalam saingan Liga Super.

Alves yang pernah menyarung jersi Gangwon FC, Korea Selatan pada 2016 dikatakan kembali ke negara berkenaan apabila menyertai Suwon FC.

Namun, ketiadaan Alves yang menjadi peledak utama Pahang musim lalu diyakini dapat diimbangi dengan kehadiran penyerang sensasi Kemboja, Chan Vathanaka.

Pada masa sama, Vathanaka akan bergandingan dengan penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha.

Sebelum ini, Pahang dikatakan terlepas peluang untuk terus mengikat Alves disebabkan beberapa masalah teknikal membabitkan kontrak.

Biarpun penyerang itu hanya mengikat kontrak bersama Pahang dalam tempoh semusim, prestasi membanggakan menyebabkan pasukan itu mahu memastikan Alves kekal.

Namun, beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan mendorong pemain itu beralih ke kelab luar untuk meneruskan kerjaya selaku pemain profesional

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 6 Januari 2018 | 12:29pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan